Hulu Klang: Atas dasar simpati, Datuk Yusof Haslam mahu menghulurkan bantuan RM380,000 kepada mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Selangor, awal bulan lalu.

Yusof berkata, niat itu akan dilaksanakan jika filem aksi terbaharu terbitan Skop Productions berjudul Blood Brothers: Bara Naga meraih kutipan lebih RM60 juta.

“Ketika filem ini mahu ditayangkan, tragedi letupan gas baru berlaku. Saya simpati apabila ada rumah kawan-kawan saya terjejas akibat kejadian itu.

“Saya juga ada melihat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menghulur sumbangan kepada mangsa. Justeru, saya bincang dengan isteri niat jika kutipan filem ini lebih daripada Sheriff: Narko Integriti, kita akan hulur sumbangan.

“Kita akan keluarkan RM380,000 sebagai pemberian ikhlas saya. Insya-Allah, kita laksanakan akhir bulan ini. Mungkin melalui tabung diusahakan TV3 atau cara lain, iaitu menggunakan saluran pihak berkuasa tempatan,” katanya ditemui pada majlis rumah terbuka di kediamannya di sini, malam tadi.

Datuk Yusof Haslam. Foto Aswadi Alias
Datuk Yusof Haslam. Foto Aswadi Alias

Yusof yang juga pengarah filem pecah panggung Sembilu dan Sembilu 2 percaya setiap rezeki yang Allah SWT kurnia, ada rezeki orang lain.

“Apabila Allah beri kita rezeki, bukan untuk kita sahaja. Kita ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat,

“Sebelum ini, ada juga orang dalam kesusahan datang rumah saya sepanjang Ramadan minta bantuan. Kita beri apa yang kita mampu.

“Malah, ada yang berhutang dengan ceti, datang rumah minta bantuan. Bagi tidak menghampakan mereka, kita bantulah seikhlas hati,” katanya.

Semalam, filem Blood Brothers: Bara Naga dilapor mengaut kutipan RM62 juta dalam tempoh 20 hari tayangan, sekali gus melebur rekod kutipan filem Sheriff: Narko Integriti, tahun lalu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *