Kuala Lumpur: Pelakon Alya Iman kembali menjadi bualan netizen selepas dikaitkan sebagai antara selebriti yang didakwa menjalin hubungan dengan suami orang.
Mengulas perkara itu, Alya atau nama sebenarnya Alya Ziman Azmil, 24, berkata dia tidak mengambil peduli komen netizen di media sosial dan memilih untuk tidak mengungkit kisah lalu.
“Apa saja yang orang mahu kaitkan dengan nama saya, itu di luar kawalan saya. Apa yang sudah berlaku, biarlah berlalu.
“Saya tak mahu komen lebih lanjut dan terus terang, saya pun tak baca semua komen negatif. Kadang-kadang, hantaran sendiri pun saya tak tengok.
“Jadi saya tak tahu pun apa yang orang cakap fasal saya. Apa yang penting, orang sekeliling dan rakan media tahu siapa saya sebenarnya,” kata Alya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Viu Pabila Dia Tersenyum, semalam.
Menurut Alya, dia percaya isu itu tidak menjejaskan perjalanan kariernya yang kini semakin berkembang dan yakin ia bukan satu usaha untuk menjatuhkannya.
“Saya tak pasti mengenai perkara itu dan tak rasa ada sesiapa yang berniat nak jatuhkan saya.
“Bagi saya, rezeki adalah ketentuan Allah. Apa pun yang berlaku, saya hanya akan terus berusaha memberikan yang terbaik.
“Saya yakin Allah akan tentukan segalanya walaupun mungkin ada yang cuba menjatuhkan kita dengan pelbagai cara,” katanya.
Tambahnya, meskipun dihimpit gosip, ia langsung tidak memberi kesan terhadap dirinya dan dia tetap komited untuk membuktikan kemampuannya dalam dunia lakonan.
“Saya tak ambil tahu langsung kerana gosip ini tidak penting dan tidak memberi kesan secara peribadi.
“Andai kata ia menjejaskan karier saya sekalipun, saya akan terus berusaha untuk membuktikan bakat yang saya ada,” katanya.
Sebelum ini, nama Alya dipetik sebagai individu yang dikaitkan mempunyai sejarah menjadi orang ketiga.
Pada 2020, Alya mengaku pernah menjalinkan hubungan dengan seorang ahli perniagaan yang berstatus suami orang.
Dia juga mengakui pernah mengikat tali pertunangan dengan individu terbabit namun memutuskan hubungan tersebut pada Mac 2020.
Dalam masa sama, dia tampil memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak yang tersinggung dengan perbuatannya.