KUALA LUMPUR: Atas maklum balas positif yang diterima daripada watak Iman lakonannya dalam drama Keluarga Itu, Datuk Rosyam Nor bertambah yakin usia bukan penghalang untuk seseorang aktor terus menyinar.

Rosyam berkata, realiti sama turut dihadapi sepupunya yang juga pelakon senior, Faizal Hussein apabila watak Walid dalam drama Bidaah hangat diperkatakan, malah tular sehingga ke beberapa negara jiran.

Rosyam atau nama sebenar, Mohamed Noor Shamsuddin, 58, bersyukur masih memiliki aura untuk menarik minat penonton, sama ada dalam kalangan baharu atau lama.

“Segala-galanya adalah rezeki daripada Allah SWT. Dahulu, kebanyakan drama hanya mengambil pelakon muda, namun saya dan Faizal membuktikan pada usia 58 tahun, kami boleh viral.

“Ramai suka tonton drama kami. Tidak semestinya yang muda sahaja kena viral. Namun, viral kami disebabkan bakat.

“Pada awalnya, orang benci dan maki saya. Apabila baca semula komen, mereka sebenarnya kagum dengan lakonan saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran treler rasmi filem terbaharu lakonannya, Keluang Man di sini, baru-baru ini.

Rosyam berkata, kejayaan diraih adalah hasil usaha dan kerja keras sepanjang hampir 40 tahun aktif dalam industri seni tanah air.

“Sebelum ini, ramai juga buat drama mengenai ajaran sesat dan haruan makan anak, tapi tak menjadi seperti Faizal dan saya berlakon.

“Namun, apa yang berlaku bukanlah disebabkan kami sahaja. Kami dibantu dengan kekuatan naskhah dan pelakon lain. Ini adalah gabungan yang baik,” katanya yang memulakan karier lakonan menerusi filem Gila-Gila Remaja pada 1986.

Ditanya ‘ramuan rahsia’ kejayaan sesuatu naskhah, Rosyam yang juga aktif dalam bidang perniagaan, berkata ada kala cerita berkait rapat dengan kehidupan masyarakat mampu mendapat tempat.

“Kebanyakan platform penstriman suka membuat cerita ala-ala Hollywood, tapi akhirnya cerita ‘kampung’ yang meletup.

“Siapa boleh bayangkan tiba-tiba Faizal boleh ‘meletup’ sampai ke Indonesia. Mana ada pelakon muda yang ‘meletup’ sampai ke sana seperti Faizal.

“Ini membuktikan bakat dan peluang itu penting. Alhamdulillah lakonan kami jadi fenomena. Setiap pelakon impikan begitu,” katanya.

Rosyam menjadi antara barisan pelakon filem adiwira terbaharu terbitan Astro Shaw, Keluang Man yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 29 Mei ini.

Filem arahan Anwari Ashraf itu turut membariskan Nas-T, Datuk Remy Ishak, Shweta Sekhon dan Anwaar Beg Moghal.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *