Kuala Lumpur: “Selalunya benda yang baik ini (ke arah fasa perkahwinan), kita nak cepatlah,” demikian kata Ezwan Zain atau dikenali sebagai Mr E, 44, berhubung ‘pengakhiran istimewa’ yang menjadi impiannya untuk bersama pelakon dan penyanyi popular, Erra Fazira,51.

Menurut Ezwan juga ahli perniagaan, bagaimanapun mereka yang masih dalam proses berkenalan lebih rapat bagi mencari keserasian, tidak pasti lagi sama ada naik pelamin pada tahun ini atau tahun hadapan.

Terus diasak mengenai kenyataannya itu sebagai ‘hint’ awal untuk melangkah ke fasa perkahwinan, Ezwan berkata, dia dan Erra ketika ini selesa menjalani hubungan ‘rapat’ antara mereka secara matang.

“Kalau benda baik (berkahwin) betullah, cuma tak tahu tahun ini atau tahun depan?,” katanya ditemui bersama Erra pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Mind Order di Kueh Cafe Petaling Jaya, malam tadi.

Mengulas juga berkaitan misi dan visinya dalam perhubungan dijalin bersama Primadona Filem Melayu itu, Ezwan berkata mereka mempunyai hasrat dan impian yang sama untuk kehidupan seterusnya di dunia hingga akhirat.

“Saya rasa saya dan Erra, kita kongsi ‘vision’ serta ‘mision’ yang sama untuk kehidupan di peringkat umur ini. Maksudnya, kehidupan selepas itu yang macam mana, awak nak kejar apa?

“Jadi, kita ada satu matlamat yang sama. Rasanya nak menuju pengakhiran yang baik (berkahwin), seimbang dunia dan akhirat, termasuk kita juga nak menyumbang lebih kepada komuniti sebab kita pun berniaga.

“Kiranya kita berdua ini berkongsi misi yang sama, visi yang samalah,” kata Ezwan lanjut mengenai perjalanan perhubungan murni dijalin antaranya dan Erra.

Sementara itu, Erra atau Fazira Wan Chek berkata, dia bersama Ezwan menjalani perhubungan baik dan rapat mereka tanpa memberi tekanan di antara satu sama lain.

“Kami memang ada berbincang mengenai hubungan ini (arah tuju), tapi ia bukan satu tekanan. Kami tidak beri tekanan di antara satu sama lain. ‘Go with the flow’, tapi dengan matlamat berbeza.

“Cuma, kalau misal kata berkawan tapi terapung saja (hubungan), itu pun sangsi juga. Eh, kosong-kosong saja nak berkawan sampai bila? Nantikan,” ujarnya.

Erra berkata, mohon doa yang baik buat hubungannya bersama Ezwan kerana jika semua berjalan lancar, mereka mengharapkan fasa perkahwinan itu berlaku secepat mungkin, tapi setakat ini tidak diketahui bila?

Sebelum ini, media melaporkan Ezwan mengakui hubungannya dengan Erra mula terjalin sejak Ogos tahun lalu dan semakin serius.

Pada Januari lalu pula, kecoh di media sosial apabila Erra dikatakan dilamun cinta selepas memuat naik ucapan berbaur romantis, dipercayai ditujukan kepada seseorang.

Selepas itu, Erra yang juga bekas Ratu Cantik Malaysia itu dilihat semakin terbuka dengan hubungannya, selepas muncul dalam siaran langsung bersama Ezwan di platform media sosial dan sesi ‘live’ itu mengundang reaksi positif netizen.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *