KUALA LUMPUR: Sosok ini memiliki segala-galanya – cantik, popular, berharta dan berbakat besar. Namun, hanya satu perkara yang dilihat bagai belum berlabuh, iaitu jodoh.

Hingga kini, andai ditanya soal pacaran, jawapan penyanyi dan pelakon jelita, Daiyan Trisha, 32, tetap sama, dia enggan terburu-buru memikirkan soal jodoh.

Mungkin ramai tidak percaya wanita secantik Daiyan masih terkunci pintu hati. Belum ada jejaka mampu mencairkan hatinya.

Bagi penyanyi yang sedang hit dengan lagu Jom Raya, tiada apa yang menarik mengenai kisah percintaannya. Sehingga hari ini, statusnya masih solo dan kisah peribadi sangat membosankan.

Bukan sengaja mengelak dan berselindung, hakikatnya tiada sesiapa yang bertakhta di dalam hati Daiyan atau nama sebenar, Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin.

“Tidak, bukan sebab saya ingin low profile. Buat masa ini, memang saya tiada calon (teman lelaki).

“Niat sembunyikan identiti kekasih memang tidak ada. Namun, tidak tahulah pada masa akan datang. Perkara ini juga bergantung kepada pasangan saya.

“Jujurnya, saya tidak mencari. Kalau ada, adalah,” katanya kepada BH Online.

Sentiasa anggun, wanita kelahiran Bangi, Selangor itu menafikan dirinya cerewet dalam mencari pasangan hidup.

Daiyan menepis persepsi hanya dambakan jejaka berstatus dan berkerjaya hebat sebagai calon suami.

Daiyan tepis persepsi dambakan lelaki berstatus dan miliki kerjaya hebat sebagai pasangan hidup. - NSTP/Rohanis Shukri
Daiyan tepis persepsi dambakan lelaki berstatus dan miliki kerjaya hebat sebagai pasangan hidup. – NSTP/Rohanis Shukri

Sebaliknya, penyanyi yang pernah menyertai konsert jelajah Asia Tenggara bersama penghibur kelahiran Amerika Syarikat (AS), Sam Tsui pada 2019 itu, mahukan pasangan yang serasi.

“Tidak ‘melekat’ jodoh pada usia 32 tahun bukan bermakna saya terlalu memilih. Kalau boleh saya mahukan lelaki sehati sejiwa.

“Sukar jika tiada keserasian. Saya percaya pasangan akan menjadi cerminan diri saya. Dia akan mempengaruhi disiplin dan sikap saya.

“Saya pun tidak mahu ‘belasah’ sahaja sesiapa yang datang dalam hidup, sedangkan tidak serasi. Saya bukan terdesak hendak berkahwin,” katanya lagi.

Mengulas lagu Jom Raya yang menampilkan Alfie Zumi yang trending sepanjang Aidilfitri hingga mencapai lebih dua juta tontonan di YouTube, Daiyan terharu dengan penerimaan peminat.

Daiyan tidak menyangka percubaan merakam lagu raya ciptaan sendiri dengan lirik dihasilkan Glowrush dan Efry Arwis selepas hampir sedekad menceburi bidang nyanyian itu, berhasil.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) ini menyifatkan semua itu rezeki.

“Sebelum ini, saya tidak pernah dipanggil membuat persembahan pada majlis rumah terbuka. Namun, saya banyak terima undangan sejak lagu Jom Raya menjadi hit.

“Ramai sangka saya pilih karya. Namun, selepas mendengar lagu Jom Raya yang santai, barulah mereka kenal genre muzik saya.

“Selama ini, ada peminat tidak tahu saya penyanyi. Sekarang barulah mereka tahu saya sudah lama jadi penyanyi, komposer dan penulis lirik,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *