Kuala Lumpur: Pelakon, Edika Yusof mengakui terkilan apabila mengenangkan rumah tangga dibina selama 22 tahun dan tempoh 19 tahun menjaga isterinya, Nor Hidayah Yusri, 47, yang lumpuh bakal berakhir dengan perceraian tidak lama lagi.

Edika berkata, bagaimanapun sebagai lelaki yang sudah berusia 58 tahun, dia tidak boleh terlalu kecewa tetapi kena kuat menghadapi ujian mendatang kerana inilah realiti kehidupan manusia.

“Saya rasa semua manusia biasa akan terkilan dan ada rasa sedih juga. Tapi, kita sebagai lelaki takkan nak tunduk macam itu (terus meratapi) dan kita kena kuat sebab untuk anak-anak juga.

“Memang rasa terkilan itu ada, kita pun manusia biasa. Tapi, kita perbaiki dirilah,” katanya.

Mengulas penerimaan anak-anaknya terhadap perceraian yang bakal terjadi itu, Edika berkata, mereka faham dan anak lelaki, Fardeen Nasrulhaq, 21, memilih menetap dengan isteri, manakala anak perempuan, Fereena Nurulhaq, 20, tinggal bersamanya.

“Anak lelaki saya sangat rapat dengan ibunya dan dia ikut isteri. Manakala, anak perempuan tinggal dengan saya. Dia tidak mahu ikut ibunya kerana hubungan anak perempuan dan isteri tidak berapa rapat.

“Sebagai bapa, saya menjadi tempat untuk anak meluahkan perasaan dan mendapatkan nasihat jika timbul sebarang masalah antara dia dan ibunya.

“Nasihat juga sudah diberikan kepada kedua-dua mereka agar berbaik tetapi masih tidak jalan dan saya pun sudah tak tahu nak buat apa lagi. Dia pun tak mahu ikut ke sini (mahkamah).

“Saya ajak dia datang bersama. Tapi, dia cakap tak apa dan cukup hanya mendoakan yang terbaik untuk perkara ini dari jauh. Saya menghormati keputusan itu,” katanya.

Menurut Edika, selama berhadapan kemelut rumah tangga itu dan Nor Hidayah buat keputusan tinggal berasingan, isterinya langsung tidak pernah menghubunginya.

Katanya, dia sendiri pernah cuba memujuk isterinya tetapi usaha dilakukan gagal kerana panggilan telefon dan mesej dikirim tidak dibalas oleh wanita terbabit.

Terdahulu, Nor Hidayah memfailkan tuntutan perceraian terhadap Edika pada Februari lalu dan pada sebutan kedua kes itu, tarikh 5 Mei depan ditetapkan mahkamah untuk Edika lafazkan cerai berikutan isterinya dalam keadaan tidak suci.

Edika dan Nor Hidayah bernikah pada 2003 dan sepanjang dua dekad perkahwinan itu, mereka bahagia dengan dua anak.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *