Menjadi jenama animasi tempatan paling legenda, Keluang Man terus melekat dalam ingatan ramai. Hakikatnya, watak adiwira itu menjadi kebanggaan rakyat negara ini.
Mencetuskan fenomena pada sekitar 1998, Keluang Man kekal relevan dan mengujakan peminatnya. Beberapa karyawan juga mengangkat jenama terbabit dalam filem mahupun teater.
Terbaru, Keluang Man bakal diangkat ke pentas teater yang berlangsung tiga malam bermula 24 April ini, jam 8 malam di Studio Sedar Ruang, Shah Alam, Selangor.
Pengarahnya, Walid Ali berkata, dia teruja mendapat peluang berharga itu dan berharap pementasan itu bakal mengimbau kenangan lama khusus buat peminat tegarnya.
“Saya berterima kasih kerana diberi peluang oleh pihak yang memegang hak cipta Keluang Man untuk animasi ini dipersembahkan di pentas teater.
“Adaptasi ini kali pertama dihasilkan dan mendapat sokongan Kelab Keluang Man. Saya amat teruja dapat imbau nostalgia 1990-an bersama peminat siri animasi ini,” katanya.
Teater itu menampilkan Han Zalini sebagai Keluang Man atau Borhan, manakala pelakon lain adalah Cristina Suzanne sebagai Suri, Jay Iswazir (Samsir) dan Azman Hassan (Cikgu Ahmad).
Apa yang menarik, projek itu turut mendapat sokongan padu Kelab Keluang Man selain mendapat kerjasama Sedar Ruang Studio dan Galeri Kamn Ismail.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Keluang Man, Amir Hamzah berkata, dia berharap projek berkenaan menyatukan bekas karyawan dan peminat dalam satu wadah.
“Kami jalankan pelbagai aktiviti seperti seni, sukan, rekreasi, kebajikan dan program lain yang dapat memberi kebaikan kepada ahli kelab dan masyarakat.
“Kami sering menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak yang menyokong dan berminat dengan potensi jenama Keluang Man serta aktiviti kelab.
“Ini salah satu cara untuk memastikan Keluang Man terus relevan dan malar segar pada semua peringkat umur dan masyarakat,” katanya.
Amir berkata, selain filem dan program TV, teater itu juga salah satu impiannya untuk melihat karya seni penciptanya, Allahyarham Kamn Ismail diadaptasikan dalam bentuk berbeza selain animasi dan komik.
“Walaupun teater yang bakal dipersembahkan tidaklah besar dan boleh dianggap mini atau ‘indie’, ini adalah permulaan kecil dalam mengembangkan jenama yang sudah wujud sejak 28 tahun lalu.
“Malah teater ini adalah kisah adaptasi yang sudah tiada lagi dalam bentuk animasi untuk ditayangkan, hanya berpandukan skrip asal dan penulisan jalan cerita oleh Kamn,” katanya.
Teater Keluang Man diadaptasi daripada siri asal hasil karya Allahyarham Kamn yang sangat popular pada era 1990-an. Pementasan dibuat selepas Studio Sedar Ruang mendapat izin daripada pemegang hak cipta Keluang Man.
Teater ini mengisahkan perjalanan Borhan iaitu pesakit di Hospital Bahagia Tumpoi bertukar pada waktu malam menjadi pejuang keadilan membanteras jenayah dengan cara tersendiri.