KUALA LUMPUR: Rantai berlian yang menjadi warisan keluarga tidak ternilai dan rantai emas sebagai simbol kasih sayang, dihadiahkan kepada bintang Ceria Popstar, Erissa Puteri Hashim pada hari pernikahan bersama jejaka pilihan hati, Muhamad Danial Iskandar di sini, hari ini.

Majlis berlangsung di sebuah hotel mewah di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi, Erissa, 22, dan Danial, 26, yang memilih persalinan rona putih gading, dinikahkan Pendaftar Nikah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Dr Adam Drahman dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Hashim Daud.
Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin 70 gram emas bersama sembilan dulang hantaran berbalas 11 dulang. Bagaimanapun, wang hantaran tidak dinyatakan.
Majlis pernikahan itu dihadiri kira-kira 200 tetamu merangkumi anggota keluarga dan kenalan rapat.
Anggun mengenakan persalinan rona putih gading, Erissa bersyukur majlis lancar dan dipermudahkan.
“Alhamdulillah, saya sangat lega tetapi pada masa sama, sangat berat hendak tinggalkan keluarga. Sebagai anak perempuan, saya rapat dengan keluarga. Namun, ini bukanlah bermaksud saya tinggalkan keluarga cuma berjauhan.
“Rasa sebak tetapi lega,” katanya.
Menyedari ramai tidak sangka dia bernikah selepas kira-kira setahun mengenali Danial, Erissa mengakui yakin dengan kemampuan jejaka itu dalam mengemudi bahtera perkahwinan.
“Danial sangat penyabar. Dia tahan dengan perangai saya yang kuat membebel. Dia juga tunjuk kasih sayang. Itu yang membuatkan saya yakin dengannya,” katanya.
Erissa mengakui tiada masalah memilih menamatkan zaman bujang di usia muda ketika karier seni berkembang.
“Mengenai umur dan karier seni, saya tiada masalah kerana keluarga mentua ada syarikat produksi sendiri. Mereka faham dengan karier saya,” katanya.
Sementara itu, Danial mengakui lega dan mahu menyokong Erissa meneruskan karier seni.
“Saya tidak pandang isteri sebagai artis. Saya tertarik dengan pendiriannya,” katanya.
Erissa menyertai nusim kedua Ceria Popstar pada 2014 dan mula menceburi bidang lakonan dengan drama cilik di Astro seperti Geng UPSR, Puasa Oh Puasa, SMK dan banyak lagi.