PETALING JAYA: Artis serba boleh, Elly Mazlein, 44, terus berpegang prinsip tidak memaparkan wajah anak dalam media sosial.
Selain mahu menjaga privasi dua cahaya mata, Elly atau nama sebenar, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi ingin melihat mereka membesar dan menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak biasa.
“Biarlah anak-anak membesar seperti orang biasa. Saya tidak mahu mereka menjadi tumpuan.
“Saya ingin mereka merasai kehidupan bebas. Saya tidak mahu anak-anak rasa emak mereka ini adalah artis atau selebriti.
“Alhamdulillah, sampai hari ini anak-anak saya sangat selesa dengan kehidupan mereka,” katanya pada sidang media Big Stage Alpha di 8 Studio by Metal Bees Technology Park, Mutiara Damansara di sini, semalam.
Mengulas pendekatan sama diambil rakan artis, Elly yang popular dengan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan menyifatkan masing-masing ada hak tersendiri.
Elly berkata, jika tindakan enggan berkongsi foto anak dalam media sosial dilihat mampu mendatangkan kebaikan dan dapat mengelak daripada perkara tidak diingini, tidak salah untuk teruskan.
“Apabila ada artis-artis lain buat keputusan sama, mungkin itu terbaik untuk mereka, maka teruskan.
“Apa-apa pun, saya fikir ini adalah hak masing-masing. Namun, saya gembira dengan keputusan dibuat,” katanya yang akan mengacarakan program Big Stage Alpha, tidak lama lagi.
Ditanya sama ada pernah berdepan situasi di mana peminat memuat naik foto anaknya, Elly berkata, kebanyakannya sudah maklum dengan prinsip dan ketetapan dibuat.
“Kalau saya bawa anak keluar, kebanyakan peminat sudah faham prinsip saya. Mungkin kerana mereka sudah lama mengikuti media sosial saya.
“Peminat hormat. Mereka tahu kalau saya muat naik foto anak-anak, wajah akan ditutup dengan emoji.
“Jadi, kalau mahu muat naik foto bersama saya, mereka akan kaburkan wajah anak-anak saya,” katanya.
Elly mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Azlan Che Nuh pada Januari 2020 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Haider, 4.
Sebelum itu, Elly pernah berkahwin dengan pengarah Azmi Hatta pada 9 November 2014, namun berpisah pada 15 Oktober 2015. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Putri Sara Sefhia, 8.