KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memuji treler dan video belakang tabir pembikinan filem terbitan Marvel Studios, Thunderbolts yang memilih bangunan kedua tertinggi dunia, Merdeka 118 di sini sebagai lokasi penggambaran.
Kagum dengan usaha Marvel Studios, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata syarikat produksi terbabit mengambil inisiatif menggunakan ramai pelakon tambahan dalam kalangan orang tempatan.
“Jika kita lihat treler terbaharu yang dikeluarkan, visual dipaparkan bukan sahaja cantik, malah, membabitkan ramai pelakon tambahan dalam penggambaran filem itu,” katanya ditemui pada sidang media Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) Ke-8 di sini, semalam.
Azmir turut berterima kasih kepada pengurusan Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL yang meluluskan penggambaran filem Thunderbolts di ibu negara.
“Projek ini dipantau Kementerian Komunikasi kerana mendapat kelulusan PUSPAL. Setiap penggambaran antarabangsa perlu melalui agensi terbabit.
“Namun, mereka tidak memohon insentif rebat daripada kita kerana kos projek ini tidak begitu besar. Selain itu, tempoh penggambaran hanya antara tiga hingga empat hari sahaja. Bagaimanapun, PUSPAL beri bantuan.
“Dalam hal ini, saya ingin ucap terima asih kepada PUSPAL dan kementerian kerana membantu melancarkan proses penggambaran di Malaysia selama tiga hingga empat hari,” ujarnya.
Azmir menambah kejayaan seumpama itu tidak akan berlaku tanpa sokongan berterusan pasukan di belakang FINAS dalam mempromosikan lokasi penggambaran menarik di Malaysia.
“Saya ingin ucap terima kasih kepada pasukan kru FINAS termasuk yang terdahulu, dalam mempromosikan lokasi penggambaran filem di Malaysia hingga ke hari ini.
“Dengan adanya usaha itu, penerbit terbabit yakin untuk datang dan menjalankan penggambaran filem Marvel di Malaysia. Ini suatu kebanggaan buat negara,” kata Azmir lagi.
Terdahulu, video treler dan belakang tabir pembikinan ilem Thunderbolt arahan Jake Schreier, tular dalam media sosial.
Tahun lalu media melaporkan penggambaran Thunderbolts di Malaysia dibantu syarikat produksi tempatan, Biscuit Films yang terkenal dengan pembabitan dalam filem seperti Crazy Rich Asians, Blackhat dan siri televisyen, Marco Polo.