KUALA LUMPUR: Pelakon Cristina Suzanne berpegang prinsip untuk sentiasa menghormati individu lain biarpun tidak menerima layanan baik.

Pelakon berdarah kacukan Melayu-Jerman yang dikenali dengan perwatakan ceria dan peramah itu berkata, dia akan melihat daripada sudut positif andai berdepan layanan kurang baik.

“Saya tak letak ketetapan untuk orang menghormati, cukup kita yang hormat orang. Kita tak boleh paksa untuk hormat orang, cukuplah hanya kita yang buat begitu, asalkan hati bahagia.

“Kalau ada yang mahu kurang ajar, mungkin itu masalah dia atau ada isu lain sebab kadang-kadang kita tak tahu apa latar belakangnya.

“Jadi, tak boleh terus menilai. Mungkin ada sebab tersendiri kenapa dia begitu, jadi biarkan sahaja,” katanya ditemui pada sidang media teater Keluang Man di De Moccis Boutique Hotel di sini, kelmarin.

Cristina bakal membintangi teater adiwira, Keluang Man yang bakal dipentaskan di Studio Sedar Ruang, Shah Alam antara 24 hingga 26 April ini, jam 8 malam. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Cristina bakal membintangi teater adiwira, Keluang Man yang bakal dipentaskan di Studio Sedar Ruang, Shah Alam antara 24 hingga 26 April ini, jam 8 malam. – NSTP/Saifullizan Tamadi

Bagaimanapun, bintang filem KIL pada 2013 itu berkata, dia akan meletakkan batasan tertentu andai ada individu yang bersikap sombong atau tidak baik kepada dirinya.

“Saya akan ambil langkah begitu sahaja dan tak cakap banyak. Mudah sahaja, kalau tak mahu hormat saya tak apa.

“Mungkin bila sudah begitu dia bukan kawan atau kami tidak ada keserasian,” katanya.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, dia mahu kekal positif dengan tidak memandang berat perkara sebegitu.

“Bagi saya, kalau terlalu memikirkan perkara itu, kita akan jadi terlebih fikir, pening kepala dan rasa nak marah tiba-tiba.

“Kalau lihat dari segi psikologi memang akan begitu. Jadi, kalau nak gembira anggap itu bukan masalah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Cristina bakal membintangi teater adiwira yang diasaskan Allahyarham Kamarudin Ismail atau lebih dikenali sebagai Kamn Ismail iaitu Keluang Man bersama barisan pelakon seperti Jay Iswazir, Han Zalini dan Azman Hassan.

Teater kerjasama tiga pihak iaitu Kelab Keluang Man, Sedar Ruang Studio dan Galeri Kamn Ismail arahan Walid Ali itu bakal dipentaskan di Studio Sedar Ruang, Shah Alam, Selangor antara 24 hingga 26 April ini, jam 8 malam.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *