Kuala Lumpur: Filem Blood Brothers: Bara Naga mencatat kutipan RM9.2 juta dalam tempoh dua hari tayangan termasuk tayangan awal.
Naskhah tema aksi dan persaudaraan arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra serta diterbitkan Skop Productions dan Primeworks Studios (PWS) itu ternyata memenuhi cita rasa penonton sekali gus berada dalam kelas tersendiri.
Sejak mula ditayangkan di 146 pawagam seluruh negara bermula kelmarin, Blood Brothers: Bara Naga menerima maklum balas positif penonton apabila rata-rata memuji jalan cerita, sinematografi dan koreografi aksi yang disifatkan setanding filem Hollywood.
Lantaran itu, tidak hairanlah filem yang mengambil masa selama 70 hari dengan bajet RM7 juta ini mampu ‘meledak’, sekali gus menjadi buah mulut penggemar filem aksi.
Ia mengisahkan mengenai perjalanan hidup Ariff lakonan Syafiq Kyle yang direkrut oleh Ghaz (Sharnaaz Ahmad) untuk berkhidmat di bawah naungan Datuk Zul (Wan Hanafi Su), ahli perniagaan berpengaruh yang juga merangkap sebagai ketua Mafia Naga.
Sejak itu, Ariff mengangkat bai’ah setia sebagai pengawal peribadi elit dalam syarikat kawalan keselamatan dipanggil Silent Guard, sekali gus terikat sebagai Blood Brother kepada Ghaz.
Namun, ketika pengkhianatan dahsyat menggoncang dunia mereka, Ariff tiba-tiba dituduh sebagai pembelot dan dijadikan suspek utama.
Dalam keadaan terdesak membersihkan namanya, Ariff terpaksa melarikan diri dan mendapatkan bantuan abang kandungnya yang sudah lama terpisah, Jaki (Syazwan Zulkifly).
Sementara itu, Ghaz diamanahkan untuk memburu dan menangkap Ariff, lantas menyerahkannya kepada pengadilan keluarga Naga yang dahagakan balas dendam.
Filem ini turut menampilkan lakonan Irfan Zaini, Andy Teh, Ray Dap Dap, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Zamarul Hisham dan ramai lagi.