Kuala Lumpur: Bekas isteri kepada pengarah sensasi Syamsul Yusof, Ira Kazar, tampil menasihati pengguna media sosial agar berhenti bertelegah ketika menyertai sesi siaran langsungnya di TikTok.
Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin menegaskan dia tidak terganggu dengan komen-komen negatif yang dilemparkan kepadanya, sebaliknya terhibur dengan perhatian yang diterima.
“Janganlah gaduh. Kenapa suka sangat bergaduh ni.
“Ramai lah yang tahu saya dulu macam mana. Tak perlu nak beritahu mereka (pengikut) sebab dulu saya memang jahil.
“Sekarang pun masih jahil lagi. Sudahlah tu (bergaduh) kerana anda mengganggu ketenteraman orang lain, bukan saya,” katanya dalam siaran itu.
Dalam masa sama, Ira turut menjelaskan dia kini lebih terbuka dan tidak mengambil hati dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan masa lalunya.
“Saya tak rasa terganggu pun, jangan risau. Saya begitu terhibur, sebab anda masih ambil tahu fasal saya sedangkan saya tak kisah mengenai hal lalu,” katanya.
Difahamkan ketika sesi siaran langsung itu terdapat pengikut yang masih ‘membuli’ anak kepada pelakon veteran, Kazar Saisi itu dengan mengaitkan isu rumah tangga membabitkan Ira dan Syamsul.
Ira sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila dikaitkan sebagai punca keretakan rumah tangga Syamsul dan bekas isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana.
Pada 5 September tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik yang dilafaz oleh Syamsul terhadap Ira ketika pasangan itu masih bergelar suami isteri.
Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib mengesahkan perkara itu selepas Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin selaku plaintif memfailkan lafaz cerai taklik pada 21 Ogos lalu sekali gus jatuh talak satu.
Syamsul dan Ira mendirikan rumah tangga pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.