Kuala Lumpur: Sebutir lagi bintang Melayu klasik gugur selepas berjuang melawan penyakit buah pinggang lebih setahun lalu.

Berita pemergian bintang jelita yang mewarnai dunia perfileman Melayu pada era 1960-an, Allahyarham Datin Noor Azizah, 78, selepas sesak nafas di kediamannya di Kampung Melayu Sungai Rapat, Ipoh, Perak, kira-kira jam 3 pagi tadi mengejutkan teman seperjuangan.

Anak kelahiran Kinta, Ipoh, Perak itu mula membuat kemunculan pertama dalam dunia perfileman pada 1965 menerusi filem Dayang Senandong.

Bagaimanapun, filem Soal Hati terbitan Serangkai Filem milik Datuk Habsah Hassan pada 2000 menjadi kemunculan terakhir Allahyarham Noor Azizah dalam dunia lakonan.

Habsah berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai pemergian sahabat baiknya itu.

Katanya, dia menemui arwah buat kali terakhir sebelum Ramadan apabila sahabat baiknya itu datang ke Restoran Primadona, Sungai Penchala miliknya untuk bersarapan pagi.

“Saya terkejut dan tak tahu mengenai berita pemergian arwah kerana belum sempat melihat telefon, pagi ini.

“Jujurnya, saya sangat sedih. Arwah memang uzur dan datang dalam keadaan bertongkat. Tapi, saya tak menyangka arwah alami penyanyi serius.

“Walaupun jarang berjumpa, tapi hampir setiap hari kami berhubung melalui aplikasi WhatsApp. Ada sahaja yang arwah kongsikan, contohnya jika ada berita menarik,” katanya.

Habsah yang sudah lama mengenali Allahyarham Noor Azizah berkata, dia berjaya memujuk arwah membintangi filem Soal Hati arahan Othman Hafsham disebabkan keakraban mereka.

“Arwah sebenarnya tidak mahu lagi berlakon dan sudah lama tinggalkan dunia lakonan.

“Tapi, saya pujuk dan merayu kepadanya untuk berlakon dalam filem Soal Hati. Saya minta arwah bawa watak ibu kepada Datuk Afdlin Shauki.

“Saya kata hanya satu babak dan akhirnya, arwah setuju,” kata Habsah.

Bagaimanapun, Habsah melahirkan perasaan terkilan apabila tidak dapat memberikan penghormatan terakhir kepada arwah kerana baru mendapat berita pemergiannya.

Difahamkan, Allahyarham Noor Azizah akan dikebumikan di kampung halamannya di Ipoh, Perak selepas Zohor.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *