Sepang: Mahkamah Majistret di sini, menetapkan 24 April ini untuk pihak pendakwaan menyerahkan dokumen kes urine membabitkan pelawak dan pelakon Muhammad Nizamuddin Ahmad atau Along Cham yang didakwa atas pertuduhan memiliki 1.49 gram (g) kanabis dan memasukkan dadah ke badan.

Keputusan itu diperintahkan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan. 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Sutri Patang manakala peguam Zaleha Al Hayat mewakili Along menggantikan peguam Syed Yusuf Syed Zaid.

Zaleha berkata, hanya dua dokumen sahaja diserahkan pihak pendakwaan.

javascript:falsejavascript:falsejavascript:falsejavascript:falsejavascript:false

“Pihak pendakwaan masih belum serahkan dokumen bagi saringan air kencing, jadi 24 April ditetapkan bagi pihak pendakwaan untuk serahkan dokumen kes urine.

“Hari ini hanya dua dokumen sahaja baru diserahkan iaitu membabitkan kes di bawah seksyen 6 dan 15 (1)(a),” katanya.

Bekas peserta program realiti Raja Lawak berusia 42 tahun itu didakwa memiliki dadah di kediamannya di Cyberjaya pada 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu, mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan dadah disyaki jenis tetrahydrocannibol (THC) pada 10 malam, tarikh sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang boleh dibaca bersama 38B akta sama, membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang dua tahun serta tidak lebih tiga tahun.

Sementara itu Along, 42, berkata, penukaran peguam yang dibuat adalah atas persetujuan ahli keluarganya.

“Pertukaran peguam atas persetujuan keluarga sebab tiada salah saya rasa untuk cari peguam yang terbaik untuk uruskan kes saya ini.

“Peguam sebelum ini pun sudah dimaklumkan dan tiada masalah antara kami,” katanya.

Sebelum ini pada 28 Februari lalu, laporan kimia membabitkan kes dadah Along sudah diserahkan kepada pihak pendakwaan.

Along hadir ke mahkamah bersama ibunya, Siti Habsah Kadir, 64, dan memberitahu gembira ibunya sentiasa memberikan sokongan terhadapnya. 

Terdahulu pada 27 Januari lalu, Mahkamah Sesyen Sepang melepas tanpa membebaskannya (DNAA) atas satu pertuduhan dadah jenis kanabis pada 14 Disember lalu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *