Kuala Lumpur : Penyanyi yang juga anggota kumpulan Nico G, Affa sering berhubung dan bertanya khabar mengenai keadaan kesihatan Allahyarham Nico atau nama sebenarnya, Abdul Fashah Abdul Aziz atau Nico.
Affa atau nama sebenarnya Muzaffar Shah Baharin, 49, berkata, dia juga turut mendengar perkongsian rakan artis, Aris Ariwatan yang turut mengambil berat mengenai keadaan kesihatan Nico.
“Saya kerap berhubung dengannya walaupun masing-masing sibuk dengan komitmen sendiri. Saya selalu bertanya khabar dengannya. Bila dia kata dia sihat, hati saya pun lega. Kadang-kadang saya juga akan ingatkan dia untuk makan ubat.
“Aris ada beritahu saya bahawa wajah Nico kelihatan sedikit berbeza sejak hujung tahun lalu.
“Dia sarankan saya untuk telefon dan bertanya khabar, sebab katanya dia rasa macam ada sesuatu yang tak kena, mungkin berkaitan jantung,” katanya.
Menurut Affa, dia bimbang sekiranya pemergian Nico ini ada kaitan dengan masalah jantung.
“Saya pun hubungi dia dan tanya sama ada dia sihat atau tidak. Tapi Nico tak pernah pun mengadu sakit atau apa-apa masalah kesihatan. Saya cuma sampaikan kepada dia apa yang Aris maklumkan kepada saya.
“Jujurnya, saya bimbang kalau pemergiannya ini ada kaitan dengan masalah jantung. Tapi kita perlu tunggu pengesahan daripada pihak berkaitan,” katanya.
Ditanya mengenai kerjaya seni mereka, Affa berkata, perkembangannya agak perlahan dan Nico mengambil keputusan untuk menjadi pemandu e-hailing bagi meneruskan kelangsungan hidupnya.
“Selepas Gegar Vaganza musim ke-8 (GV8), kami masih sempat membuat beberapa persembahan di beberapa acara. Namun dalam tahun lalu, tawaran persembahan semakin perlahan.
“GV8 sebenarnya menjadi pintu rezeki yang membuka semula peluang kerjaya kami. Tapi dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, keadaan menjadi agak perlahan dan kami mula mencari rezeki dengan cara masing-masing,” katanya.
Nico menghembuskan nafas terakhir ketika dalam tidur pada jam 11 malam tadi pada usia 53 tahun di kediaman rakannya di Kampung Baru, di sini.