KUALA LUMPUR: Datuk Amy Search menarik perhatian pengikut Instagram (IG) apabila mengusik seorang peminat yang mahu beliau menukar tarikh konsert solo pertamanya yang dipentaskan pada hari sama berlangsungnya perlawanan akhir Piala Malaysia.
Amy atau nama sebenar, Suhaimi Abdul Rahman, 67, dalam nada bergurau meminta peminat terbabit agar tidak menonton perlawanan akhir Piala Malaysia antara skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC, sebaliknya, datang ke konsert solonya pada 26 April depan, atas alasan sudah tahu pasukan mana yang menang.
“Tak perlu tengok (perlawanan akhir Piala Malaysia) sebab sudah tentu JDT menang… Mana pernah JDT kalah,” usik Amy yang berkongsi hantaran itu di IG Story, hari ini.DISYORKAN
Konsert Amy Search Magic First Solo Concert dijadual berlangsung serentak dengan perlawanan akhir Piala Malaysia pada 26 April depan. Pasukan JDT dan Sri Pahang FC akan bertemu di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Penyanyi Isabella itu pula akan menghangatkan lokasi bersebelahan, iaitu Axiata Arena, pada malam sama.
Bersetuju dengan jawapan yang diberi Amy, individu terbabit memberitahu dia akan hadir pada konsert itu, biarpun terlepas perlawanan akhir Piala Malaysia.
“Terbaik Datuk… Betul juga. Baiklah, saya ‘on’ konsert Amy,” tulisnya.
Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan perubahan tarikh baharu bagi aksi final Piala Malaysia membabitkan pertembungan JDT dan Sri Pahang FC.
Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) dilapor mengumumkan tarikh baharu aksi final Piala Malaysia ditetapkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 26 April depan.
Selepas 44 tahun bergelar anak seni, Amy bakal muncul dengan konsert solo pertama, Amy Search Magic First Solo Concert di Axiata Arena. Tiket untuk konsert itu sudah dijual sejak 5 Februari lalu.