Kuala Lumpur : Datin Sofia Jane, 53, sangat teruja bakal bergelar nenek kerana anak sulungnya, Arissa, 29, dijangka melahirkan anak hujung bulan ini.
Sofia berkata, dia sangat teruja kerana ia proses dalam kehidupannya. Dari zaman anak dara, menjadi ibu dan seterusnya bakal bergelar nenek tidak lama lagi.
“Insya-Allah, doakanlah semoga semuanya selamat (proses kelahiran cucu) nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Sofea dan keluarganya juga akan menyambut Aidilfitri di Eropah termasuk menyambut kelahiran cucu sulung di sana.
“Kami beraya di Eropah kerana Arissa dan suaminya, Maximilian Lotz yang berasal dari Jerman juga bekerja di sana,” katanya.
Menurut Sofea, dia yang akan menjaga anak dan cucunya nanti dalam tempoh berpantang itu.
“Sebagai ibu, saya suka kombinasi moden dan tradisional untuk anak saya menjalani tempoh berpantang.
“Berbanding dulu, zaman sekarang lebih senang kerana kita ada banyak produk tempatan yang membantu ibu lepas bersalin menjalani tempoh berpantang di rumah.
“Jadi, sayalah yang akan menjadi ‘mak bidan’, menjaga anak termasuk memakaikan bengkung dan sebagainya nanti,” katanya.
Sofia berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Meor Zain Azman Mohamad Taib pada 9 September 1995.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat anak iaitu Arissa, Imran, Khadijah dan Soraya.