Setia Alam: Pelakon, Isyariana, 35, kini tampil dengan imej bertudung selepas pulang daripada menunaikan umrah beberapa hari lalu.
Isyariana berkata, dia bagaimanapun masih lagi dalam proses istiqamah.
“Setakat ini, rasa segan pula bila tak bertudung. Saya rasa seronok, selamat dan okey dengan imej sebegini.
“Saya masih baru dengan imej bertudung. Kalau boleh tak mahu jawab sama ada dalam fasa percubaan kerana sedang cuba terbaik untuk diri sendiri,” katanya.
Katanya, dia masih berjuang agar penampilan ini berterusan, namun mula untuk hanya menerima tawaran lakonan yang bersesuaian.
“Ya saya takut tak istiqamah sebab saya sedang ‘struggle’ juga. Tak boleh nak jawab ditambah dengan tawaran lakonan yang akan diterima kelak juga bagaimana.
“Ada juga beberapa tawaran yang saya tolak untuk lakukan. Sekarang pun saya tak tahu sudah bertudung atau tidak tetapi saya usaha lakukan apa yang sepatutnya.
“Memang niat bertudung sudah lama dan namun untuk kekal istiqamah bukanlah hal mudah.
“Kemudian saya juga ada beberapa tawaran drama termasuk Bukan Sekadar Lafaz 2, ketika itu masih lagi belum bertudung. Mahu atau tidak memang kena buka tudung.
“Setakat ini, saya berehat dari lakonan pada bulan Ramadan, jadi beginilah penampilan saya,” katanya.