KUALA LUMPUR: Kepayahan penggiat seni veteran yang diuji masalah kesihatan dan keuzuran mendapat perhatian pelbagai pihak sepanjang Ramadan.
Tidak ketinggalan pertubuhan amal, Insaf Malaysia yang baru-baru ini meraikan penggiat seni veteran yang tidak mampu lagi meneruskan karier akibat masalah kesihatan dan uzur pada majlis berbuka puasa di ibu negara.
Keprihatinan ditunjukkan membuatkan beberapa artis veteran meluahkan rasa terharu dan menghargai bantuan dihulur yang dapat digunakan untuk kelangsungan hidup.
Antara penerima sumbangan adalah juruhebah RTM, Noraini Ibnu; anggota kumpulan Freedom, Shuib Shaari; dR Sam; Isma Alif; Khalid Real Spin; Mel Wings, Paparock dan Fauziah Samad.
Majlis disempurnakan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

Noraini, 65, yang pernah ditidurkan selama lima hari akibat masalah darah beku pada jantung dan jangkitan kuman pada paru-paru dua tahun lalu, tidak menyangka diberi bantuan Insaf Malaysia.
“Sejak diduga sakit hampir dua tahun lalu, ini kali pertama saya dijemput jadi penerima sumbangan. Walaupun ada wang persaraan, bantuan ini sedikit sebanyak dapat digunakan untuk persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya.
Shuaib, 66, yang mengalami masalah serangan angin ahmar kira-kira tujuh tahun lalu dan tidak lagi mampu bermain alat muzik, juga berterima kasih atas ingatan kepada artis veteran.
“Nasib baik saya sudah tiada komitmen bulanan, anak-anak juga membantu. Namun, apabila diberi bantuan seperti ini, saya tetap teruja dan berterima kasih atas ingatan,” katanya.
Majlis berbuka turut meraikan anak-anak dari beberapa pusat tahfiz, iaitu Tahfiz Masjid Al Ansar, Maahad Tahfiz Turath Integrasi Al-Ikhwah, Maahad Tahfiz Quran Misbahul Falah, Pertubuhan Kebajikan Nurhati, Pusat Jagaan Nurul Hasanah dan Rumah Qaseh Ibu.