BAND indie tempatan yang semakin meningkat Dukes tampil bersama single terbaharu berjudul Little Talks.

Menariknya karya pop rock ini dihasilkan dengan penuh semangat yang membawa mesej mengenai emosi cinta, kehilangan dan nostalgia zaman remaja.

Dilabelkan sebuah karya yang akan membawa kembali kenangan cinta remaja melalui sentuhan muzik pop rock yang segar.

Berinspirasikan daripada pengalaman peribadi pemain gitar Dukes, Rayyan yang mencipta lagu ini semasa berusia 17 tahun sebagai luahan jiwanya ikhlas dan penuh makna.

Meminati dan mengagumi genre ‘Punk Rock’ ketika itu, Little Talks membawa nuansa muzik sedikit nostalgik, dengan sentuhan pengaruh Blink-182, sebuah band pop punk dari Amerika Syarikat.

Little Talks menggambarkan pengalaman cinta zaman remaja seorang lelaki yang ditinggalkan oleh pasangannya dan ingin menjalinkan hubungan mereka semula.

Walaupun lagu ini ‘catchy’ dan berjiwa muda, dengan melodinya yang mesra serta upbeat, namun liriknya tetap membawa unsur kesedihan. Lebih istimewanya, lirik lagu ini mengambil pendekatan ‘less is more’, dengan menggunakan kata-kata yang mudah dan berulang untuk memastikan mesejnya terus ke hati pendengar tanpa lapisan makna yang kompleks.

Band yang teguh dengan identiti muzik mereka, Dukes mengutamakan kreativiti dan ekspresi dalam setiap lagu yang dicipta.

“Majoriti lagu kami dicipta sepenuhnya sendiri kerana sebagai sebuah band, kami bermain muzik bukan sekadar untuk hiburan, tetapi kerana minat yang mendalam dalam penulisan lagu. Bagi kami, karya itu sendiri amat penting,” menurut anggota kumpulan itu.

Jipie, seorang produser berpengalaman yang turut terbabit dalam produksi lagu ini, menyatakan rasa teruja untuk bekerjasama dengan Dukes, lebih-lebih lagi dalam sebuah karya berbahasa Inggeris.

“Keunikan lagu ini semestinya terletak pada ‘hook melody’ dan ‘progression’ yang bermula perlahan sebelum berkembang menjadi lebih rancak.

“Dukes juga menunjukkan disiplin dan kerendahan hati yang tinggi sepanjang proses rakaman, satu ciri yang sangat mengagumkan untuk artis baharu,” katanya.

Dengan harapan untuk menarik perhatian pendengar di peringkat antarabangsa, Dukes yakin Little Talks mampu mencipta impak besar dalam industri muzik tempatan dan global.

Berbekalkan lirik yang mudah dihayati, melodi yang melekat dalam ingatan, dan susunan muzik yang seimbang, lagu ini berpotensi untuk menjadi kegemaran ramai.

Little Talks kini boleh didengarkan di semua platform digital.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *