Kuala Lumpur : Penyanyi Mimi Fly, 39, menerima segala komen netizen sama ada baik dan buruk terhadap muzik video (MV) lagu raya, Serumpun nyanyiannya yang kurang disenangi kerana dia tampil berkemban.

Mimi atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham berkata, dia sangat menghormati setiap pakaian yang digunanya dalam MV itu kerana paling penting ia selesa.

“Saya tidak berniat mencipta kontroversi melalui lagu Serumpun ini, tetapi terlalu fokus pada karyanya kerana inginkan hasil terbaik sehingga menolak tepi perkara lain.

“Ketika ini, saya sangat obses dengan karya lagu sendiri. Apapun, saya terima segala komen sama ada baik dan buruk, termasuk kalau ada yang tersinggung dengan karya saya itu, saya minta maaf.

“Insya-Allah kalau buat lagu raya lain pada masa akan datang, saya akan memperbaikinya. Bukan niat saya pun nak cetus sensasi, tapi memang saya selesa dengan pakaian (berkemban) itu,” katanya.

Mimi yang juga bekas anggota kumpulan One Nation Emcees ditemui pada rakaman program Melodi Raya 2025 di Studio 1, Balai Berita Bangsar, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut isu MV Serumpun itu, Mimi berkata, selama 17 tahun dia bertapak dalam karier seni dan sedekad bergerak secara solo, segala susah payah dilalui baru sekarang membuahkan hasil apabila karyanya itu diterima ramai.

“Jadi, saya tidak sambil lewa dalam menyediakan pakaian untuk MV Serumpun dan bekerjasama juga dengan pereka fesyen terkenal bagi mempelajari sejarah pakaian orang terdahulu.

“Untuk itu, saya cuma rasa pakaian yang saya kenakan itu cantik dan selesa. Saya dah tengok pakaian orang-orang lama, jadi saya suka. Saya nak raikan pakaian dan fesyen kita sebenarnya,” katanya.

Mimi berkata, bagaimanapun dia berpuas hati apabila Serumpun mendapat pandangan positif dan negatif daripada pendengar, itu tidak mengapa dan menyifatkan yang penting orang masih mengambil tahu.

“Sekurang-kurangnya ada yang ambil kisah dengan apa saya keluarkan (lagu) kerana sebelum ini saya pernah berada di fasa ketika keluarkan apa-apa saja produk lagu orang tidak kisah.

“Jadi, saya ambil semuanya itu (komen netizen) serta terima kasih diucapkan dan saya akan memperbaikinya selepas ini. Saya benar-benar berterima kasih,” katanya.

Terdahulu, MV lagu raya Serumpun itu baru dilancarkan Mimi di saluran YouTube Mimifly, Sabtu lalu, namun rata-rata komen meluahkan rasa kurang senang dengan penampilannya yang berkemban.

Bagi penonton, lagu raya yang sudah bagus itu tidak sepatutnya MV dihasilkan kurang sopan sekali gus mencalar tema sambutan Aidilfitri yang pakaiannya sedap mata memandang.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *