Kuala Lumpur: Ibu kepada Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Rozita Ibrahim, 61, umpama mengesahkan status perkahwinannya dengan suami baharu apabila berkongsi beberapa gambar mereka berdua di Instagram.

Pasangan bahagia ini sekarang berada di Makkah mengerjakan umrah dan ia sudah diselesaikan mereka jam 6.30 pagi waktu Makkah.

Berkongsi doa diharapkannya, Rozita berkata, dia berdoa agar Allah memberi keampunan di atas segala dosa yang dilakukan dan melindungi seluruh ahli keluarganya.

“Bulan Ramadan ini penuh rahmat, kami datang kepada-Mu dengan hati penuh harapan dan tangan yang menadah keampunan.

“Kami hamba-Mu yang lemah, penuh dosa dan kekurangan, namun kasih sayang-Mu tidak pernah bertepi.

“Ampunkanlah kami Ya Allah atas segala khilaf kami yang sengaja mahu pun tidak. Ya Allah, di bulan yang suci ini bersihkanlah hati kami daripada segala noda,” tulisnya.

Rozita yang mesra dipanggil bonda itu turut menitip doa buat perkahwinan baharu itu sekali gus menjawab spekulasi dalam kalangan pengikutnya yang tertanya-tanya mengenai status dirinya selama ini.

“Ya Allah, kurniakanlah kami keberkatan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Satukanlah hati kami dengan kasih sayang dan reda.

“Temukanlah kami dalam syurga yang abadi. Kami sayang anak-anak kami, berikan mereka kekuatan untuk solat dan beramal kebaikan,” tulisnya dalam titipan doa panjang lebar.

Rozita juga sebelumnya di awal kapsyen itu menulis ‘menjawab persoalan followers’ yang umpama mengesahkan desas-desus mengenai perkahwinan terbaharunya adalah benar.

Terdahulu, timbul tanda tanya pada kalangan netizen di media sosial apabila terlihat kelibat seorang lelaki muncul dalam sesi siaran langsung dibuat Rozita di TikTok ketika berada di bilik hotel.

Bagaimanapun, anak perempuan Rozita iaitu Nur Ain Sufiah atau dikenali sebagai Ain mendedahkan ibu bapanya sudah bercerai dan ibunya kini mempunyai pasangan baru.

Menurut Ain, dia tampil mendedahkan mengenai status terkini ibunya kerana tidak mahu adik-beradik yang lain menerima serangan negatif daripada orang luar yang sering bertanya mengenai hal perkahwinan itu.

Ain berkata, mereka sekeluarga juga menerima takdir perpisahan ibu bapanya itu dengan terbuka dan menjelaskan hubungan dalaman keluarga tetap masih baik.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *