Petaling Jaya: “Saya tidak akan berdiam diri. Emosi saya dan keluarga terganggu dengan pelbagai gelaran negatif yang diberikan,” luah pelakon dan pengarah terkenal, Ellie Suriaty Omar, 54.
Ellie mengulas mengenai susulan kandungan yang dimuat naik di TikTok baru-baru ini oleh pempengaruh media sosial, Muhammad Al Imran Badaruddin atau Imran Bard yang didakwa mencalar imejnya sebagai penggiat seni.
Malah pelakon filem Soalnya Siapa? itu memberi tempoh sehingga Hari Raya ini untuk Imran membuat permohonan maaf secara bersemuka dengannya.
“Isu ini (buli siber) ada kaitan dengan masyarakat. Bila namanya pempengaruh, dia akan mempengaruhi masyarakat sama ada baik atau buruk.
“Bayangkan saya terima pelbagai mesej negatif termasuk gelaran sundal, rupa buruk, pelakon sendu dan banyak lagi.
“Dia (Imran) sepatutnya datang berjumpa dengan saya sebelum puasa lagi. Tapi dia kata dia berada di kampung. Jadi saya bagi tempoh hingga Hari Raya nanti untuk dia datang jumpa saya.
“Kalau dia berdegil juga, saya serahkan pada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pada Sidang Media dan Majlis Tayangan Program Raya Astro 2025, di Bandar Utama, di sini, malam tadi.

Ellie turut menasihatkan Imran mengenai adab untuk memohon maaf dan kemungkinan bakal mengambil tindakan undang-undang pula dia memaklumkan sebolehnya mahu menyelesaikan perkara itu sebaik mungkin.
“Reputasi yang dibina selama tiga dekad hasil kerja keras saya ini tercalar disebabkan video yang dimuat naiknya itu.
“Berapakah nilai diri yang hendak diletakkan? Saya adalah anugerah Allah SWT.
“Saya berpegang pada janjinya untuk bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Saya nak tengok bagaimana tindakannya.
“Perkara ini juga penting untuk kelompok karyawan seni dalam industri kreatif,” ujar Ellie.
Terdahulu, Imran menerusi Instagram Story (IGs) dikatakan sudah membuat permohonan maaf terbuka kepada Ellie berhubung video TikTok dengan kandungan berunsur fitnah yang dimuat naik itu.
Menerusi hantaran yang sama, Imran menjelaskan tujuan menggunakan nama Ellie terjadi secara spontan didorong oleh minat terhadap aktres terbabit.