Kuala Lumpur: Pelakon Ayda Jebat yang disahkan mengalami ‘slipped disc’ mengaku tidak tahu punca sebenar sehingga dia mengalami masalah itu sejak seminggu lalu.
Ayda berkata, dia hanya menyedari masalah yang dialami selepas terdengar bunyi di bahagian belakang badan selepas meletakkan kasut anaknya.
“Kalau orang tanya macam mana terjadi, saya sendiri pun tak pasti apa puncanya. Ketika kejadian, saya hanya nak letakkan kasut anak di bawah, selepas itu bila nak bangun tiba-tiba ada bunyi meletup.
“Bila insiden itu berlaku, saya menjerit kesakitan sebab ingatkan tulang patah. Saya juga tak boleh nak berdiri tegak.
“Suami saya pun terkejut tengok keadaan saya dan terus bawa ke hospital,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Ayda, selepas ditahan wad selama dua hari dia mengakui pergerakannya kini terbatas dan perlu lebih berhati-hati agar keadaan kesihatannya tidak bertambah buruk.
“Sepatutnya saya perlu berehat. Bagaimanapun saya memilih untuk terus bekerja. Esoknya (selepas keluar hospital) saya terus ada komitmen penggambaran, berehat sehari dan ke Singapura untuk berniaga.
“Saya anggap setiap tawaran ini adalah tanggungjawab dan pada masa sama perlu jaga kesihatan. Jadi apa yang boleh saya buat adalah berhati-hati bila buat kerja, jalan dengan perlahan dan makan ubat.
“Insya-Allah selepas habis berniaga di Celebfest di Singapura, saya akan berehat. Doktor memang marah bila tahu masih lagi terus bekerja.
“Jadi doktor ada berikan nasihat dan tip bagi pesakit slipped disc. Apa yang perlu saya lakukan ketika ini adalah dengan jalani rutin senaman dan makan ubat tertentu,” katanya.
Pada 1 Mac lalu, Ayda memaklumkan dia menerima rawatan di sebuah pusat perubatan selepas mengalami slipped disc ringan.