Sepang: Pelakon dan pelawak, Along Cham, 42, tidak menafikan anak tunggalnya, Ahmad Daniel, 14, kecewa dengan apa yang berlaku dalam rumah tangganya dan isteri, Afreena Suhaimi, 33, yang kini berhadapan proses perceraian.
Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamuddin Ahmad berkata, dia berkahwin baharu pun bukan untuk bercerai kerana memahami anaknya itu mendambakan kasih sayang seorang ibu.
“Selepas lapan tahun perceraian dengan bekas isteri (Zila Saeron) pada 2016 lalu, hak penjagaan Daniel memang sepenuhnya kepada saya kerana nusyuz. Tapi, saya tak pernah halang ibu kandungnya berjumpa.
“Cuma, dia (Zila) datang jumpa anak setahun selepas cerai saja ketika Daniel umur lapan tahun. Jadi, saya harap dengan perkahwinan kedua ini, dapatlah Daniel kasih daripada seorang ibu.
“Tapi, dengan apa yang berlaku dalam perkahwinan saya sekarang ini, sudah tentulah dia (Daniel) kecewa. Namun, dia tetap seorang anak yang kuat,” katanya kepada Harian Metro di perkarangan mahkamah di sini, hari ini.
Menurut Along, bagi menceriakan semula anaknya itu dia menyibukkan Daniel dengan pelbagai aktiviti di sekolah dan meminta tidak terlalu memikirkan kerana dia akan menyelesaikan semuanya.
Terdahulu, tuntutan pengesahan lafaz cerai melanggar taklik difailkan Along terhadap Afreena ditangguhkan Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi kepada tarikh baharu pada 8 Mei depan berikutan maklumat dokumentasi yang tidak lengkap.
Pada 10 Februari lalu, Along memfailkan permohonan lafaz cerai melanggar taklik terhadap Afreena di Mahkamah Rendah Syariah Sepang di sini, sebagaimana mengikut alamat kediamannya.
Along dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu, dia sepatutnya sudah memfailkan cerai lafaz taklik itu pada 16 Disember tahun lalu, tetapi ditahan polis akibat memiliki ganja pada 14 Disember.
Menurut Along, isterinya sudah melanggar lafaz taklik yang membabitkan tiga perkara itu sepanjang perkahwinan mereka.
Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu yang juga perkahwinan keduanya selepas bercerai dengan bekas isteri pertamanya, Zila.