STESEN televisyen, TV3 dan TV9 bersama laman web penstriman video dan hiburan popular tempatan Tonton melancarkan kempen Ramadan Raya 2025 (RaRa 2025) bertemakan Indahkan Memori menyajikan seleksi hiburan eksklusif sempena Ramadan dan Syawal.

RaRa 2025 turut menampilkan Fasha Sandha, Aidil Aziz, Aisha Amaira, Farah Nabilah Wazer, Naz Rahman, Fatin Hamimah dan Amirulhakim Lokman sebagai Friends of RaRa sebagai penyebar kegembiraan buat semua.

Fasha akui sangat berbesar hati apabila keluarga kecilnya dipilih menjayakan kempen itu. Dia berharap penonton TV3, TV9 dan Tonton terhibur dengan program serta pengalaman menarik disajikan.

“Sangat bersyukur kerana mempercayai kami sekeluarga. Sebagai ibu dan isteri, hajat saya berkongsi indahkan memori Syawal bersama keluarga. Semoga pembabitan kami dapat mewarnai program TV3 buat penonton,” katanya.

Dihoskan Fahrin Ahmad dan Fiza Sabjahan, acara pelancaran itu yang berlangsung di Rumah Abang Jamil, Kuala Lumpur, baru-baru ini turut dihangatkan dengan persembahan Senario, Shiha Zikir, Zahid, Ernie Zakri, Hariz Fahaye dan bintang realiti Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Jimi.

Kemeriahan diteruskan dengan persembahan lagu tema RaRa 2025 berjudul Raya Pop Pop nyanyian Fahimi Rahmat. Lagu itu ciptaan Yusuff Khan, Adam Armin dan Adly Kiddy meraikan semangat perayaan, menggamit kenangan.

Acara yang ditaja Gardenia NuMee itu turut dihadiri artis program dan drama RaRa antaranya Datuk Rosyam Nor, Erma Fatima, Datin Paduka Umie Aida, Amir Ahnaf, Puteri Balqis, Ummi Nazeera, Siti Hariesa, Shukri Yahaya, Amira Othman, Luqman Hafidz, Fezrul Khan, Wanna Ali dan Muaz Zabir.

Menurut Pengurus Besar Kandungan TV3, Marlia Zul Amran pilihan Friends of RaRa dibuat berdasarkan personaliti pelakon.

Katanya, mereka sentiasa menunjukkan identiti yang baik, begitu juga mereka yang sudah berkeluarga yang sentiasa meluangkan masa dengan anak, memang sesuai dengan tema pada tahun ini.

“Bagi menghargai kemesraan, tema ini diangkat supaya mempunyai kebersamaan dan keakraban bersama keluarga bermula dari detik berbuka puasa hingga hari lebaran.

“Setiap momen yang dikongsi, sama ada menikmati juadah, menunaikan solat bersama atau mengimbau kenangan lalu, menjadi jambatan yang merapatkan hati dan mengukuhkan silaturahim.” katanya.

Difahamkan, Friends of RaRa ini dibuat berdasarkan kenangan manis mereka bersama Media Prima.

Tidak dinafikan, barisan artis dan selebriti berjaya membawa watak yang menyentuh hati kepada penonton selain mengimbau rasa kekeluargaan serta tradisi yang terukir sejak kecil.

Setiap tahun, Ramadan dan Hari Raya secara tidak langsung mencipta peluang untuk memastikan memori yang tercipta kekal berpanjangan.

Kempen ini mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mencipta detik indah yang sarat dengan keharmonian, kegembiraan dan nilai persaudaraan yang terus mekar.

Dalam pada itu, rangkaian program menarik sepanjang Ramadan dan Syawal pelbagai genre bakal menanti penonton.

Daripada rancangan inspirasi, bual bicara sarat pengajaran, hiburan, gaya hidup, drama dan siri mini menyentuh em

osi, setiap program menyampaikan naratif bermakna dan mesej mendalam untuk dinikmati bersama.

Antaranya Menu Sihat Ramadan, Anak Mama Masak Apa Tu? Sembang Sahur, Bukan Sekadar Lafaz 2, Sekam Di Dada, Keluarga Itu dan Teratak Kasih Salina.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *