ENAM anak muda berbakat iaitu Muawwidz, Haidar, Bilal, Fuad, Hanif dan Syed yang menggelarkan diri mereka Fetya kini muncul dengan keunikan tersendiri menerusi single terbaharu berjudul Balaklava.

Karya seni kumpulan neo haraki ini sekali lagi mengetengahkan mesej perjuangan dengan menonjolkan naratif unik dan berani, sekali gus memperkukuhkan kedudukan mereka dalam arena muzik perjuangan.

Anggotanya, Bilal berkata, selepas kejayaan Taufan Al-Aqsa, Gaza Berdarah Lagi dan Giliranmu, Balaklava hadir meneruskan kesinambungan karya Fetya yang bertemakan kemanusiaan.

“Balaklava dicipta oleh Ustaz Adnin Roslan, Fuad Jamil, Muawwidz dan Elyas Hazard. Ia menggambarkan pertembungan watak dan perwatakan.

“Suatu naratif mendalam yang membuka perspektif baharu mengenai perjuangan dan identiti dalam konflik global.

“Balaklava terus mengekalkan tema ‘pertembungan (????)’ yang menjadi identiti utama Fetya Universe,” katanya.

Menurutnya, setiap lirik mereka menceritakan naratif pertembungan berbeza, namun semuanya membawa kepada perjuangan dan ketabahan.

“Lagu ini adalah refleksi perwatakan yang timbul di tengah konflik, menyingkap sisi manusia yang jarang diperkatakan,” katanya.

Fetya Universe antara lain merangkumi karya bertajuk Kesetiaan Q, Syahadah Rabaah, Intifadhah Bersinar dan Di Balik Besi yang semuanya mengungkap pelbagai dimensi pertembungan daripada konflik idea hingga perjuangan menulis semula sejarah.

Biarpun mendapat sokongan padu peminat, Fetya juga tidak asing berdepan cabaran.

Menurut Muawwidz, album pertama mereka pernah diharamkan oleh YouTube dan beberapa platform digital lain.

“Beberapa saluran YouTube kami dipadamkan oleh platform terbabit kerana kandungan yang membawa mesej perjuangan Palestin.

“Bahkan baru-baru ini, saluran YouTube kami sekali lagi diharamkan sejurus selepas lagu Taufan Al-Aqsa mula mendapat perhatian dalam kalangan peminat.

“Bagaimanapun, perkara ini sedikit pun tidak mematahkan semangat Fetya untuk terus berkarya. Kami sedar muzik kami bukan sekadar hiburan dan ia adalah medan perjuangan,” katanya.

Katanya, pengharaman ini tidak melemahkan semangat mereka, sebaliknya menjadi bukti bahawa mesej mereka penting dan perlu didengar.

“Setiap kali kami dihalang, insya-Allah kami akan bangkit semula dengan lebih kuat. Ini adalah janji kami kepada mereka yang terus menyokong.

“Bagi Fetya, pengharaman platform digital tidak menjadi batu penghalang, malah menjadi pemangkin semangat untuk terus membawa inspirasi dan suara rakyat Palestin yang terpinggir,” katanya.

Balaklava kini boleh dinikmati di semua platform digital dan YouTube Lagu Perjuangan, sebuah saluran yang menghimpunkan karya yang membakar semangat perjuangan.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *