Kuala Lumpur : Naib juara Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Kai Deva, 24, ada sebab kenapa dia menyorokkan kisah hidupnya yang tinggal di kawasan setinggan sebelum menjadi perhatian, baru-baru ini.

Kai Deva berkata, dia enggan menagih simpati orang ramai kerana ia bukanlah isu besar baginya untuk diceritakan.

Lagipun, dia sudah bersyukur kerana ada tempat tinggal yang selesa bersama keluarganya.

“Ya, rumah saya kalau ketuk sikit, orang kata bergoyang. Memang ia rumah lama, rumah kayu yang bersambung-sambung.

“Kami menetap di situ sebab ketika itu isteri saya bersalin. Saya pula kena fokus dengan CSOIAM, jadi saya tak dapat nak meneruskan pekerjaan hakiki saya iaitu ‘busking’.

“Jadi, saya cepat-cepat cari rumah dan dapatlah rumah di kawasan situ dengan harga yang murah. Iyalah, kos sara hidup di Kuala Lumpur sangat tinggi.

“Saya tak mampu nak sewa rumah yang besar, jadi buat sementara waktu kami menetap di situ dulu,” katanya ditemui pada acara Listening Party – Meet & Greet Top 4 CSOIAM di APW, Bangsar, di sini, semalam.

Kai Deva turut menegaskan alasan utamanya menyertai CSOIAM tidak lain ingin memberikan kehidupan yang lebih selesa dan mengubah nasib keluarga.

“Kalau tidak masuk CSOIAM pun, saya tetap akan bekerja siang ke malam untuk mencari pendapatan. Saya bukan berasal dari keluarga yang senang, saya berpindah ke Kuala Lumpur sendirian kemudian saya ‘busking’, seterusnya berkahwin.

“Ada juga kasihan tengok saya bawa anak dan isteri naik motosikal. Jadi, mereka doakan saya dapat beli kereta, itu juga adalah salah satu sebab saya masuk CSOIAM. Saya mahu cari rumah yang lebih selesa untuk keluarga saya selain hantar ibu saya menunaikan umrah,” katanya.

Bapa kepada seorang anak itu turut menangkis komen-komen sinis yang membuat andaian dia pasti akan lupa diri apabila sudah menempa nama. Dia tidak nafikan, sampai bila-bila pun akan terhutang budi dengan isterinya.

“Mula-mula masa dia berpantang memang saya jarang ada masa untuk dia, tapi dia faham saya buat untuk keluarga. Tapi saya tidak balik terus tidur saja, saya tetap jaga anak kami secara bergilir.

“Itu tanggungjawab yang saya perlu saya bawa sebagai suami dan lelaki. Tugas saya cari nafkah, dan saya memang hormati isteri saya kerana memahami saya.

“Saya hargai dan mungkin saya takkan boleh boleh balas jasa dia menjaga anak, waktu pantang pun sendiri. Saya doakan yang terbaik untuk dia dan dapat menjadi isteri baik untuk saya,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *