Kumpulan Rabbani. Foto Hairul Anuar Rahim
Kuala Lumpur: Kumpulan nasyid, Rabbani meluahkan rasa kecewa apabila masih berdepan isu penipuan membabitkan bayaran persembahan.-ADVERTISEMENT-
Anggota Rabbani, Azadan Abdul Aziz, berkata, jumlah bayaran yang belum diterima melebihi RM100,000, sekali gus menunjukkan masalah ini masih berlarutan dalam industri hiburan tempatan.
“Kami tidak meminta deposit kerana beranggapan individu itu adalah kenalan kami, namun dia mengambil kesempatan dengan tidak melunaskan bayaran. Kami hairan kerana perkara ini masih berulang hingga ke hari ini.
“Kami percaya rezeki sentiasa ada, tetapi setiap kali kami bertanya mengenai bayaran, dia pula yang marah kepada kami. Walaupun kami ada menetapkan syarat tertentu, ia tidak boleh terlalu ketat.
“Sebagai artis nasyid lelaki yang sudah berusia, jika kami terlalu meletakkan syarat yang tinggi, orang mungkin tidak suka. Dalam isu ini juga, kami tidak boleh terlalu terbuka menyebut nama individu terbabit kerana bimbang pihak lain akan rasa takut untuk menjemput kami.
“Jadi, lebih baik kami berlapang dada. Jika dihitung, memang ramai yang tidak membayar kami. Mereka yang gagal melunaskan bayaran ini juga terdiri daripada individu yang dikenali dan pernah beberapa kali bekerjasama dengan kami,” katanya ketika ditemui pada acara bufet Ramadan bersama Rabbani & Friends semalam.
Menurut Azadan, dia menafikan meletakkan bayaran persembahan terlalu tinggi, sebaliknya kadar harga ditetapkan hanya cukup untuk ketujuh-tujuh anggota kumpulan menyara kehidupan masing-masing.
“Secara jujur, harga yang Rabbani tetapkan adalah untuk menampung keperluan asas kami, termasuk kos pengangkutan, makanan, serta bayaran sewa rumah dan kereta.
“Setakat ini, kami tidak hidup bermewah-mewah dengan bayaran persembahan. Jadi, kami berharap individu yang berdepan masalah kewangan tidak menzalimi artis dengan tidak melunaskan bayaran,” katanya.
Mengulas mengenai bayaran yang masih tertunggak, Azadan berkata mereka reda sekiranya individu terbabit benar-benar mengalami kesulitan untuk menyelesaikan bayaran itu.
“Jika dia memang dalam keadaan sukar sehingga tidak mampu membayar, kami terima dengan hati terbuka. Namun, jika dia sebenarnya mampu tetapi sengaja tidak mahu membayar, kami serahkan perkara ini kepada Allah.
“Kami tetap berpegang pada prinsip kami dalam perjuangan di industri nasyid. Seperti yang saya katakan, kami bukan golongan yang hidup dalam kemewahan, dan bayaran yang diterima pun tidaklah terlalu besar tapi cukup meneruskan kehidupan,” katanya.