KUALA LUMPUR: Penyanyi Wany Hasrita, 33, kini boleh keluar bekerja dengan tenang selepas bertemu dengan pengasuh boleh dipercayai.

Penyanyi lagu Menahan Rindu itu berkata, dia tidak kisah terpaksa bertukar pengasuh beberapa kali berikutan timbul beberapa masalah yang menyebabkannya tidak boleh bertolak ansur.

“Saya tidak mahu paksa orang bekerja, sebaliknya saya mahukan orang ikhlas hendak bekerja.

“Kejadian pengasuh menggoncang anak dengan kuat menyebabkan saya menjadi lebih berhati-hati.

“Saya juga pernah menukar pengasuh kerana dia mengalami sakit kulit dan alah pada sabun. Macam mana nak buat jika tak boleh sentuh sabun,” katanya yang ditemui pada sidang media Puasa! Raya! RTM 2025 di Angkasapuri, baru-baru ini.

Wany kini boleh keluar bekerja dengan tenang selepas bertemu dengan pengasuh boleh dipercayai. - NSTP/Rohanis Shukri
Wany kini boleh keluar bekerja dengan tenang selepas bertemu dengan pengasuh boleh dipercayai. – NSTP/Rohanis Shukri

Bagaimanapun, Wany berterima kasih kepada ibunya kerana membantu memantau pengasuh sepanjang dirinya keluar bekerja.

Wany berkata, dia lega kerana akhirnya ditemukan dengan pasukan yang boleh dipercayai.

“Saya hanya menggunakan khidmat pengasuh apabila keluar bekerja. Saya menggunakan khidmat aplikasi dalam talian bagi mendapatkan pengasuh.

“Dahulu pengasuh dihantar tidak tetap, tapi saya minta pengasuh sama kerana anak serasi dengannya.

“Kini, saya lega kerana pengasuh bekerja dengan baik. Tapi, pada masa sama, ibu sentiasa ada di rumah untuk memantau,” katanya.

Wany mendirikan rumah tangga dengan Mohd Al-Adib Fahmi Harun pada 22 Julai 2022. Pasangan itu dikurniakan cahaya mata, Aishah Al Iman, 2.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *