Kuala Lumpur: Juara Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Marygrace mendedahkan status sebenar agamanya kini adalah Muslim.

Marygrace atau nama sebenarnya Marygrace Jane C Penserga, 24, berkata, dia memeluk Islam sekitar lima atau enam tahun lalu selepas mengikut ibunya yang bertukar kepada Muslim.

“Saya bertukar agama kerana ikut emak, ikut keluarga. Saya ikut mak yang pilih Muslim dan saya dengan adik pun sokong mak. Kami berdua ikut mak masuk Islam. Tiada salahnya pun.

“Mak dulu peluk Islam, selepas itu barulah saya dan diikuti adik. Mulanya memang tertekan juga kerana tukar agama dari Kristian ke Muslim.

“Tapi pelan-pelan belajar. Saya pelan-pelan memahami tentang Islam dan sejak itu saya bertekad bertukar agama ikut mak. Ia bukan paksaan dan memang hati terbuka untuk tukar agama,” katanya memetik temubual dengan F8Buzz Channel.

Menurut Mary, dia tidak perlu menukar namanya kepada nama berbunyi atau bercirikan Muslim.

“Saya tiada nama Muslim sebab Marygrace Jane Peserga adalah nama khas diberi oleh arwah ayah saya.

“Itu satu-satunya perkara yang saya rasa, saya perlu simpan. Jadi saya takkan ganti nama. Saya akan guna nama saya sebenar. Kad pengenalan biar Islam,” katanya.

Terdahulu, ramai dikalangan penonton menyangka status agama sebenar Marygrace sebagai bukan Islam.

Bagaimanapun mereka keliru apabila kamera menunjukkan ibunya yang hadir memberikan sokongan di Studio NTV7 berpakaian sempurna sebagai Muslim.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *