Sehingga sekarang kita masih seronok dan terhibur menyaksikan filem era Jalan Ampas, Singapura dari sekitar tahun 1940-an hingga 1960-an.

Antara yang menyerlah sudah tentunya Seniman Agung Tan Sri P Ramlee serta barisan rakan-rakan hebatnya, Seniman Aziz Sattar, S Shamsuddin dan ramai lagi.

Bagaimanapun, nama-nama lain seperti Normadiah, Datin Saadiah dan Norsiah Yem tidak dinafikan turut memainkan peranan penting dalam perkembangan filem Melayu.

Kini, peminat boleh mengimbas nostalgia zaman kegemilangan Tan Sri P Ramlee serta Normadiah, Saadiah dan Norsiah Yem menerusi Konsert Legasi Layar Perak di Panggung Capitol, Singapura pada April depan.

Selain berhibur dan mengimbas kenangan, Konsert Legasi Layar Perak juga bertujuan memperingati bintang klasik Jalan Ampas yang menjadi rutin dianjurkan sejak 2017 lagi.

Sebagai nilai tambah, program itu juga menampilkan legasi mereka iaitu Azlina Aziz, Eddy Ali dan Fazlina Ahmad Daud.

Turut terbabit ialah beberapa penyanyi lain iaitu Milah Hussein, P Radhi, Haziq Rosebi, Rojer Kajol, Hafiz Hamzah dan Rabiatul Ahmad.

POSTER Konsert Legasi Layar Perak.
POSTER Konsert Legasi Layar Perak.

Azlina akan menjadi tunjang konsert terbabit dan akan menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu dendangan arwah ibunya, selain berkongsi kisah suka duka di Studio Jalan Ampas dan perkampungan artis di Boon Teck Road.

Begitu juga Fazlina dan Eddy Ali yang turut akan berkongsi nostalgia membesar sebagai anak seni.

Penganjur konsert, Siti Aminah Ismail berkata, konsert itu diadakan bagi menghormati dan meraikan sumbangan perintis dalam perfileman Melayu klasik, selain mendedahkan legasi mereka kepada generasi baharu.

“Kami ingin mendidik penonton mengenai sejarah dan kepentingan budaya filem serta muzik Melayu.

“Selain mempromosikan kepelbagaian budaya dan perpaduan dengan menggabungkan pengaruh India, Cina dan Melayu, kami ingin anak-anak memberi penghargaan kepada ibu bapa mereka.

“Saya memilih Azlina, Fazlina dan Eddy Ali untuk memberi penghargaan kepada arwah ibu bapa mereka, manakala pembabitan artis lain sebagai penyeri konsert,” katanya.

Konsert Legasi Layar Perak di Panggung Capitol, Singapura pada 30 April depan anjuran Wadah Seni Entertainment menampilkan jalan cerita, sketsa dan komedi.

Selain berhibur, penonton juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang disediakan penganjur.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *