Kuala Lumpur: Pelakon Zamarul Hisham, 53, yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira jam 2 pagi semalam akibat sesak nafas sudah ditukarkan ke pusat perubatan di Subang Jaya hari ini.
Isterinya iaitu pelakon Diana Rafar ketika dihubungi berkata, suaminya sudah dibawa dengan ambulans dari hospital Port Dickson untuk ditukarkan ke ICU di pusat perubatan di sini untuk memudahkan ahli keluarga terdekat menjaganya.
“Saya yang minta suami ditukarkan untuk memudahkan saya menjaganya sepanjang dirawat.
“Maklumlah, saya juga kelam kabut sekarang kerana tiada pembantu rumah untuk menguruskan anak-anak. Jadi, bila suami ditukarkan berhampiran kediaman ia memudahkan saya untuk menjaganya di pusat perubatan berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas keadaan Zamarul pula, kata Diana, doktor akan melakukan pemeriksaan lebih lanjut pada petang ini untuk mengesan penyakit suaminya itu.
“Doktor tengah beri ubat dos yang tinggi untuk suami berehat dan dirawat di ICU di sini.
“Saya jangka suami ada masalah jantung tetapi doktor masih belum dapat mengesahkannya lagi.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang sama-sama mendoakan kesembuhan suami,” katanya.
Sementara itu, penerbit Zeel Production, Fadzil Teh berkata, jika nak diikutkan Zamarul sudah selesai menjayakan babaknya dalam drama terbitan produksinya ketika mengalami sesak nafas semalam.
“Pihak produksi juga memberikannya cuti sakit untuk memastikannya mendapat rawatan selanjutnya di hospital.
“Zamarul akan menyambung tiga lagi baki babaknya bila dia sudah sembuh kemudian pada penghujung Februari nanti,” katanya.
Terdahulu, Diana berkongsi detik cemas Zamarul mengalami sesak nafas di lokasi penggambaran dalam beberapa perkongsian di Instagram Story (IGs) miliknya.
Malah, aktor berkaliber itu sempat dibantu oleh beberapa kru sebelum ambulans tiba.