Kuala Lumpur: “Saya tidak lari. Jika saya mahu lakukan itu, boleh sahaja saya tutup syarikat dan jual hak cipta. Tapi saya tidak buat begitu.”
Demikian kata pemilik syarikat produksi Katana Film Sdn Bhd, Mallory Lee, yang berjanji akan berusaha melunaskan bayaran tertunggak kepada kru filem Strike: Silat Cult Master sebelum 13 Februari ini.
Menurut Mallory, syarikatnya sudah menyelesaikan bayaran penuh kepada pelakon minggu lalu dan kini sedang berusaha mencari jalan untuk menyelesaikan baki 30 peratus bayaran kepada kru.
“Saya berusaha keras untuk melangsaikan baki bayaran dengan mencari penyelesaian, termasuk berbincang dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima).
“Setakat ini, bayaran kepada pelakon telah diselesaikan, sebab itu mereka hadir untuk mempromosikan filem ini. Baki tunggakan akan kami usahakan untuk dilunaskan sebelum tarikh tayangan pada 13 Februari.
“Soal mengapa kami secara tiba-tiba menghadapi masalah kewangan, biarlah ia kekal sebagai urusan antara saya dan syarikat. Ini merupakan rahsia perniagaan yang perlu kami simpan,” katanya.
Mallory berkata demikian ketika mengulas mengenai petisyen dikeluarkan kru yang mendesak tayangan filem Strike: Silat Cult Master ditangguhkan sehingga bayaran mereka dilunaskan.
Tidak melenting dengan petisyen yang dibuat, Mallory sebaliknya akur dengan kekecewaan mereka yang menanti bayaran atas keringat yang diberikan.
“Saya juga pernah jadi kru belakang tabir dan pernah mengalami situasi sama. Saya tidak salahkan semua kru jika mereka meragui saya.
“Namun beri saya masa untuk mencari jalan dan akan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku,” katanya.
Terdahulu, beberapa krew filem memuat naik hantaran di Facebook mendesak syarikat penerbitan itu melunaskan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada 80 peratus baki gaji tertunggak.
Malah, mereka menunjukkan protes dengan tidak menghadiri majlis tayangan perdana filem Strike: Silat Cult Master yang berlangsung di Petaling Jaya, malam tadi.
Filem Strike: Silat Cult Master menelan belanja RM1.5 juta ini menceritakan perjuangan seorang lelaki yang berusaha mencari pembunuh ibunya.
Ia ditayangkan di pawagam pada 13 Februari ini dan menampilkan barisan pelakon seperti Aiman Ameer yang juga juara Hero Remaja 2023, Azri Safix (finalis Hero Remaja) dan Fify Azmi.