Kuala Lumpur: Penyanyi Bandi Amuk, 61, berasa cemburu dengan kematian bekas anggota kumpulan rap, One Nation Emcees (ONE) iaitu Allahyarham Jojo atau nama sebenarnya, Nur Hasan Baias, 50, pada 26 Januari lalu.
Bandi atau nama sebenarnya, Nasabandi Jumat berkata, kematian arwah Jojo memang dicemburi ramai kerana pengakhiran hayat Allahyarham berlaku di tempat baik dalam masjid dan pada majlis ilmu.
“Saya cemburu, sangat. Pada saya, arwah (Jojo) seorang yang baiklah. Sebab itu, kematiannya cara begitu. Saya pun selalu berdoa kepada Allah agar ‘diambil’ nanti dalam keadaan baik dan husnul khotimah.
“Setiap kali lepas solat, dalam doa saya selalu minta, Ya Allah ya Tuhanku, Kau muliakanlah kematianku. Termasuk, setiap kali bersujud dan ketika memberi salam, itulah doa yang saya mohon pada Allah,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya juga persahabatan antara mereka, Bandi berkata, dia dan arwah Jojo saling megenali tetapi tidaklah rapat kerana masing-masing terbabit dengan aktiviti dakwah.
“Antara kami saling kenal kerana menyertai aktiviti dakwah. Malah, pembabitan arwah Jojo dalam majlis Ijtimak Dakwah di Masjid Jamek Sri Petaling itu, saya tahu sebab ada ramai kawan kami dalam kumpulan itu.
“Saya sendiri pun pernah keluar berdakwah selama tiga hari juga. Jadi, pada saya Allahyarham memang insan yang sangat baik dan bukan semua orang akan dapat kematian, Allah Taala ambil nyawa itu secara ‘cantik’ sangat,” katanya.
Menurut Bandi, dia ketika ini sememangnya sudah ke arah keagamaan dalam mempersiapkan bekalan diri untuk menghadap Allah, namun dari segi imej dirinya masih dikekalkan lagi.
“Saya pun sekarang sudah ke arah itu (belajar ilmu agama). Tapi, imej saya (rambut panjang) buat masa ini, masih tidak boleh ditukar. Sebab, saya ada kerja-kerja yang terikat dan perlu dilaksanakan dulu.
“Cuma, yang penting kita tidak melupakan ‘Dia’ (Allah). Sebab itu, kalau saya menyanyi dalam konsert ke, karnival jualan atau dimana-mana saja, saya selalu ingatkan peminat agar sayangkan Allah, sayangkan Nabi, hormat ibu bapa dan jangan ada hasad dengki.
“Ini kerana, memberi pesan (yang baik-baik) itu adalah tanggungjawab kita. Macam arwah Jojo, saya rasa ia adalah satu benda yang istimewa yang jarang-jarang terjadi kepada orang lain,” katanya.
Ahad lalu, Allahyarham Jojo dilaporkan meninggal dunia di Masjid Jamek Sri Petaling, kira-kira jam 1 petang ketika mengikuti program Ijtimak Dakwah dan tiba-tiba rebah selepas pembacaan doa penutup program itu.
Terdahulu, Bandi ditemui selepas sidang media penganjuran Konsert Kasi Gegar: Cromok Vs Amuk yang akan berlangsung di N9 Arena Nilai, Negeri Sembilan pada 26 April depan, jam 9 malam.
Konsert Kasi Gegar: Cromok Vs Amuk anjuran YNS Event Management adalah pertama kali menggabungkan band ‘thrash metal’ terkenal tanah air beraksi di pentas komsert yang sama.
Dijangka berlangsung lebih dua jam, konsert bakal memaparkan kelainan tersendiri itu bertepatan dengan harga tiket antara RM488 sehingga RM118 yang sudah dijual mulai 24 Januari lalu.