Kuala Lumpur: Pemergian ibu tercinta mengetuk lagi hati pelakon Scha Alyahya, 42, untuk menilai kembali amalannya dalam proses terus memperbaiki diri dekatkan diri kepadaNya.

Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Mahadzir mengakui bimbang amalan yang dilakukan sekarang tidak diterima Allah kerana mahu memudahkan urusan ibunya Allahyarham Junainah Hasim di negeri abadi.

“Saya sering bermonolog dengan Allah dan sentiasa berdoa urusan untuk berubah dipermudahkan. Saya takut benda yang kita buat, akan mengehadkan pahala.

“Risau benda tak elok akan sampai (kepada ibu), yang elok ada halangan. Saya kena luruskan diri dahulu,” katanya ditemui pada pelancaran baju raya Shawl Publika X Seth Luna, di sini, hari ini.

Scha yang juga isteri pengacara Awal Ashaari itu turut memaklumkan sudah terdetik niat untuk berhijab sejak kembali daripada menunaikan umrah beberapa tahun lalu.

“Rasa niat untuk berubah selepas balik umrah, saya fikir usia pun nak masuk 40 tahun. Selalu berborak dengan diri sendiri dalam bilik seorang diri.

“Niat sudah sebelum arwah meninggal dunia lagi. Dah lama pasang niat (pakai tudung) doakan untuk saya dan banyak benda lain saya praktis untuk dekatkan diri dengan Allah. Kalau nak cerita, sedih sangat,” katanya.

Hakikatnya, Scha juga sudah lama memberi bayangan untuk berubah kepada suami dan sering menyertai kelas agama tetapi tidak diuarkan kepada umum.

“Selalu bagi ‘hint’ dekat Awal dan dia perasan perkara itu. Saya selalu pergi kelas agama bersama kawan-kawan tetapi memilih untuk tidak berkongsi,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *