PENGANJUR konsert rock, Rockstage Entertainment tidak pernah berhenti meneroka serta mencari idea baharu untuk menganjurkan acara dan konsert buat peminat genre rock tanah air.

Sepanjang tahun lalu, Rockstage Entertainment tampil dengan beberapa siri konsert antaranya Loudness World Tour 2024 – Greatest Ever Heavy Metal Live In Malaysia dan Kreator Strongest of The Strong Live In Malaysia.

Tahun ini mereka bermula rancak apabila menganjurkan Loud Blast Fest 2025 yang akan berlangsung di Panggung Asia, Kuala Lumpur pada 8 Februari ini.

Pengurusnya, Talib Othman berkata, Loud Blast Fest 2025 acara yang mengangkat keunikan pelbagai genre muzik di bawah satu bumbung.

“Ia menyatukan semangat dan tenaga muzik dari pelbagai negeri di Malaysia. Acara ini sebenarnya bukan sekadar sebuah gig biasa.

“Menerusi pemilihan 13 band pilihan, Loud Blast Fest menjadi platform pertembungan gaya muzik dari punk rock hingga metal ekstrim di mana semuanya bersatu di atas satu pentas.

“Pemilihan dibuat secara undian di media sosial kami dan hasilnya senarai band terpilih benar-benar mencerminkan kepelbagaian muzik di Malaysia,” katanya.

Susunan dibuat menyaksikan Subculture, kumpulan punk rock yang dikenali dengan gaya persembahan ceria akan berkongsi pentas bersama Brain Dead, kumpulan death metal yang sarat dengan aksi agresif.

Selain mereka, Loud Blast Fest turut menampilkan Antacid dari Selangor, Sapprah (Terengganu), Perpetual (Sabah), Melissa Band feat Alif Bumirock (Pahang), Larrong (Sarawak) dan Inhuman (Johor).

Tidak ketinggalan Farasu (Selangor), Dr Kronik (Kuala Lumpur), Maniac Monday (Kuala Lumpur), Predefined (Kedah) dan Sacred Sulphuric (Perak).

Talib berkata, Loud Blast Fest menjanjikan sesuatu yang menarik kepada peminat nanti.

“Dari Sabah hingga ke Semenanjung, setiap kumpulam bawa identiti unik yang mencerminkan akar budaya muzik mereka.

“Contohnya, Larrong dari Sarawak, dengan bunyi dipengaruhi elemen tradisional Borneo akan memberi perspektif muzik yang segar kepada penonton.

“Selain barisan kumpulan mengagumkan, festival menampilkan sistem bunyi dan pencahayaan yang premium,” katanya.

Menurutnya, penonton yang hadir bakal menikmati pengalaman visual dan audio yang akan meninggalkan kenangan abadi.

“Loud Blast Fest lebih daripada muzik. Ia mengenai penyatuan komuniti peminat dan artis untuk berkongsi pengalaman yang tak terlupakan.

“Kami percaya Loud Blast Fest akan menjadi pengalaman muzik beremosi dan penuh perasaan untuk semua yang hadir.

“Sambutan awal peminat sebenarnya amat menggalakkan. Jika festival ini berjaya, kami bercadang mengadakan versi dua hari pada pertengahan 2025 dengan skala lebih besar,” katanya.

Menurutnya, menerusi pemilihan yang dilakukan, Rockstage Entertainment menyemak 300 kumpulan disenarai sebelum 13 saja yang dipilih.

“Ini menunjukkan betapa besarnya bakat muzik tempatan yang sedia ada. Kami harap Loud Blast Fest dapat menjadi platform kukuh untuk mempromosikan bakat tempatan ke tahap seterusnya,” katanya.

Tiket dijual pada harga RM80 secara dalam talian dan RM95 di pintu masuk pada hari acara berlangsung.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *