“Sejak kecil saya sering melukis makhluk pelik termasuklah menghasilkan novel grafik seperti Harimau Jadian semasa berusia tujuh tahun,” demikian kongsi Fazli Yasin.

Pengarah filem Limbungan: Tragedi Hitam 1975 berkata demikian mengenai kecenderungannya menghasilkan naskhah terbitan produksi Lil Studios Sdn Bhd yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 6 Februari ini.

Mengenai filem bergenre thriller yang menampilkan lakonan Amerul Affendi, Kodi Rasheed, Cat Farish, Nor Albaniah dan ramai lagi itu, Fazli berkata penonton akan menyelami dunia mitos berkisar kepada Harimau Jadian di sebalik konflik pembangunan di sebuah kampung pada era 1970-an.

“Idea untuk hasilkan filem Limbungan ini datangnya daripada minat saya terhadap seni reka bentuk makhluk mitologi alam Melayu,” kata Fazli yang sebelum ini pengarah filem Hani dan terbabit dalam penghasilan kesan khas untuk karya seram seperti Sumpahan Jerunei, Ada Hantu, Dukun Diva (siri televisyen) dan Leftenan Adnan (biopik peperangan).

Menurut Fazli, apa yang menarik mengenai filem ini apabila kisah mengenai Harimau Jadian ini pernah diceritakan menerusi catatan Sir Hugh Clifford iaitu Residen Pahang yang bertugas pada tahun 1896 hingga 1903.

Katanya, menerusi catatan berkenaan ada menceritakan mengenai Harimau Jadian yang menyerang sebuah keluarga.

“Harimau Jadian ini adalah pengamal ilmu hitam yang membuat perjanjian dengan iblis dan makhluk ini hanya meminum darah sahaja dan tidak memakan semua mangsanya.

“Jadi, apa yang berkaitan dengan Harimau Jadian ini ada digambarkan dalam filem Limbungan dan kami gabungkan dengan kisah sejarah tentang projek hidroelektrik di Tasik Kenyir pada 1975,” ujarnya.

Mengenai cabaran sepanjang pembikinan filem berkenaan pula, Fazli berkata mereka perlu mencari lokasi yang sesuai, terutama sekali kawasan bentuk muka bumi yang berbatu dan kawasan yang berair serta pohon-pohon yang besar.

Katanya, untuk mengatasi cabaran berkenaan, mereka terpaksa membentuk satu set lokasi hutan buatan yang besar, berbanding penggambaran dibuat di hutan sebenar kerana memakan kos yang besar.

Limbungan: Tragedi Hitam 1975 mengisahkan perjalanan Ramli dan Malik ke Kampung Limbungan untuk mengambil alih projek yang terbengkalai.

Bagaimanapun, mereka diserang oleh Harimau Jadian yang menakutkan hingga memaksa mereka bergelut untuk terus hidup.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *