PEMILIHAN Baik Punya Ah Long ke tayangan perdana Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR), hujung bulan ini, disifatkan sutradara filem genre muzikal komedi itu sebagai pengubat kekecewaan atas sambutan kurang memberangsangkan di pawagam tanah air.
Pengarahnya, Datuk Afdlin Shauki berkata, apa yang membuatkan dirinya bangga kerana pengarah festival IFFR sendiri memilih filem berkenaan untuk menyertai festival terbabit.
“Pengarah festival menghubungi Astro meminta menghantar filem ke festival dan salah satunya, Baik Punya Ah Long.
“Saya terharu dimaklumkan filem ini dipilih untuk tayang perdana kerana mendapat respon positif penganjur.
“Secara jujur, saya agak ‘down’ (kecewa) selepas filem Baik Punya Ah Long ditayangkan disebabkan sambutan kurang memberangsangkan.
“Kami melalui proses sangat mencabar menyiapkan filem ini. Walaupun bergenre muzikal, tetapi prosesnya agak sukar sama seperti menghasilkan filem aksi kerana membabitkan kareografi,” katanya.
Tambah Afdlin, dia akur penonton tempatan mungkin masih belum terbuka dengan filem bergenre muzikal.
Katanya, apa yang dilalui filem membariskan dirinya, Johan dan Zizan Razak sebagai pelakon, sama seperti dihadapi pengarah filem Joker.
“Perasaan saya sama seperti pengarah filem Joker, harapan tinggi untuk filem berkenaan kerana mereka menghasilkan filem bergenre muzikal, namun kurang mendapat sambutan.
“Sebenarnya, ia agak mengganggu kerana saya tertanya-tanya adakah saya sudah tidak boleh buat filem atau ketinggalan zaman?
“Jadi, apabila pengarah festival sendiri pilih filem Baik Punya Ah Long, ia sedikit sebanyak mengubat kekecewaan saya,” katanya yang akan menghadiri acara berkenaan yang bakal berlangsung antara 30 Januari hingga 9 Februari ini.
Berkongsi mengenai harapannya Afdlin berharap filem Baik Punya Ah Long dapat diterima baik penonton di Eropah.
“Harapan saya semoga filem Baik Punya Ah Long dapat memikat penonton di Eropah dan mungkin ada kesinambungan,” katanya.
Filem Baik Punya Ah Long meraih kutipan RM2.15 juta. Dengan tagline ‘Semua Boleh Settle’, Baik Punya Ah Long mempertaruhkan 18 lagu yang dinyanyikan oleh barisan pelakon sendiri.
Selain Afdlin, Zizan dan Johan, antara pelakon lain membarisi filem berkenaan ialah Liyana Jasmay, Allahyarham Adibah Noor, Adlin Aman Ramlie dan ramai lagi.