LEBIH sedekad terbabit dalam bidang seni, pastinya pelakon berpengalaman, Sara Ali, 34, sangat selektif dari segi pemilihan naskhah ditawarkan.
Namun, kata Sara atau nama sebenarnya Siti Sarah Hairi Ali, dia sukar menolak tawaran untuk berlakon dalam filem genre seram Bisikan Dosa kerana tertarik dengan skrip dan jalan ceritanya.
“Saya sudah tiga bulan tidak berlakon dan sudah lama tidak berlakon cerita genre seram.
“Bila ditawarkan berlakon filem Bisikan Dosa, saya minta pandangan guru lakonan dan pelakon Farah Ahmad dan dia turut sama menyukai naskhah ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas tayangan perdana filem Bisikan Dosa di pawagam TGV, KLCC di sini, baru-baru ini.
Selain Sara, filem arahan Faizul A Rashid dan terbitan Yusrych Global Sdn Bhd ini menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Farid Kamil, Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans, Syazwan Hassan, Sherie Merlis, Megat Sharizal, Daniel Aqil dan Ayden Islam.
Mengenai watak Sarimah, kata Sara, ia sangat berat dan mencabar kemampuan dalam lakonan sedia ada.
“Saya terima tawaran buat naskhah ini kerana skripnya menarik dan nak tengok sejauh mana saya boleh pergi dalam cerita ini.
“Saya juga bimbang jika salah bawa watak Sarimah meroyan tu atau orang salah faham apa yang mahu disampaikan dalam cerita itu,” katanya.
Kata Sara lagi, dia berasa risau jika orang tidak boleh bezakan watak Sarimah yang kena gangguan dan babak akhir Sarimah bergaduh dengan Dr Delina (lakonan Juliana).
“Saya risau sama ada boleh jiwai babak itu atau orang boleh rasa ke tidak sehingga berasa tekanan dan tak boleh tidur sepanjang penggambaran.
“Saya memang banyak tengok ‘podcast’ berkaitan tapi jujur tiada pengalaman berkahwin dan ada anak seperti watak Sarimah.
“Namun selepas penggambaran filem, saya bersyukur semuanya selesai dengan baik,” katanya.
Ditanya sama ada dia mengalami kecederaan, kata Sara, ada koordinator lagak ngeri yang membantu di lokasi.
“Saya menyukai babak aksi dengan Juliana kerana dia juga ‘memberi’ dalam babak aksi filem ini. Dia mungkin nampak lembut tetapi sebenarnya kuat ketika babak aksi.
“Kami tidak pernah ada babak ‘fight’ (bergaduh) sebegitu dan dia juga menjiwai babak aksi itu dengan baik,” katanya.
Mengulas pembabitannya dalam sekuel filem Bisikan Dosa pula, kata Sara, pada mulanya dia juga terkejut bila diberitahu terbabit dalam dua projek filem sekali gus.
“Saya juga tidak jangka akan terbabit dengan projek dua filem tapi anggap ia sesuatu pengalaman yang baru.
“Tapi kalau diberi tempoh lebih lama untuk ‘shoot’ dua filem, saya boleh beri lakonan yang lebih bagus lagi.
“Apapun, saya sudah buat yang terbaik dan sama ada lakonan itu diterima atau tidak, saya serahkan pada penonton untuk menilainya,” katanya.