Kuala Lumpur: Penerbit, Datuk Yusof Haslam menggesa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) supaya lebih berhati-hati memberi dana kepada penerbit filem.-ADVERTISEMENT-

Menurutnya, ada segelintir penerbit menerima geran sebanyak RM500,000 daripada Finas tetapi menghasilkan filem dengan kos RM200,000 saja dan ia amat mengecewakan.

“Standard filem itu macam telefilem, malah telefilem lagi bagus. Bagi saya itu penerbit yang tidak bertanggungjawab. Finas perlu berhati-hati sebab ini babitkan wang rakyat.

“Carilah orang-orang baru yang ada tanggungjawab, yang pernah ada rekod bagus. Bagi mereka buat telefilem terlebih dulu dan kalau nampak bagus bagi dia peluang.

“Ini kadang-kadang orang yang terus terjun dalam industri dia bagi geran dan mereka bukan penerbit yang serius. Bukan apa, pemilihan perlu logik,” katanya kepada Harian Metro.

Yusof berkata, pengarah yang kali pertama mengarah filem tidak seharusnya perlu mengarah filem dulu. Boleh diberikan peluang mengarah filem pendek dulu sebelum buat telefilem.

“Kalau nampak bagus dan ada bakat barulah buat filem. Anak saya, Syamsul buat filem bukan kerana bapanya Yusof Haslam. Saya bagi dia buat Gerak Khas dan dia buat bagus, telefilem pun bagus dan kemudian barulah filem.

“Bukan saya buta-buta bagi peluang. Kita pun berhati-hati sebab ini babitkan wang. Kadang-kadang orang kata mereka bertuah saya ada duit. Tapi kalau saya keluar duit dan mereka buat filem hancur, saya takkan buat lagi. Saya orang berniaga,” katanya.

Ditanya pendapat berkenaan penerbit yang menyiapkan filem dalam nasa yang singkat, Yusof berkata, perkara ini sangat subjektif.

“Tak boleh juga kondem orang yang buat filem dua minggu dah boleh siap. Ada yang buat filem cepat tapi berkualiti dan ada juga yang makan masa dua bulan tapi kualiti hancur. Isu ini sangat subjektif dan bergantung kepada filem.

“Macam filem Babah, saya suka filem itu dan menitiskan air mata. Sebagai bapa saya dapat rasa. Ia filem yang bagus, bajet pun tak besar tapi kualitinya bagus.

“Begitu juga filem Imaginur. Saya sukakannya dan memang layak dapat anugerah. Ia bukan filem biasa. Penggambaran pun tak lama tapi hasilnya bagus,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *