KUALA LUMPUR: Pertemuan tidak disengajakan akhirnya meleraikan kemelut antara penyanyi sensasi, Baby Shima, 32, dan pengacara, Zhiddin Aziz, 22.
Walaupun tidak pernah bersua muka dan tidak saling mengenali antara satu sama lain, namun pengaruh media sosial menjadi pencetus perbalahan antara mereka sejak dua tahun lalu.
Zhiddin mengutuk gelekan Baby Shima di majlis rumah terbuka Aidilfitri pada 2022 kerana dikatakan keterlaluan dan pernah ‘memperlekehkan’ penggunaan tatabahasa penyanyi sensasi itu.ADVERTISEMENT
Tidak membenarkan dirinya diperkotak-katik, Baby Shima tampil membidas setiap video kutukan Zhiddin terhadap dirinya.
Bagai memulangkan paku buah keras, pengguguran nama Zhiddin dalam Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) tahun lalu umpama peluang dinantikan, Baby Shima menyerang dengan bidasan.
Namun, akhirnya Baby Shima mahupun Zhiddin sedar industri seni tidaklah sebesar mana dan pastinya bertembung suatu hari nanti.
Dan benar bagaikan dijangka, mereka bertemu secara tidak sengaja dalam majlis makan makan di ibu kota, di mana Baby Shima diundang sebagai penyanyi, manakala Zhiddin bertindak sebagai pengacara majlis.
Tidak pernah menaruh dendam, Baby Shima dan Zhiddin menggunakan peluang itu untuk saling bermaafan.
Baby Shima berkata, dia berkecil hati dengan perbuatan Zhiddin yang pernah menggelarnya ‘badut’ dan ‘sarkas’.
Namun, katanya, dia membuat keputusan memaafkannya dan enggan memanjangkan persengketaan apabila Zhiddin menunjukkan kesungguhan memohon maaf dalam pertemuan mereka.
“Rabu lalu menjadi pertemuan pertama kami, saya tidak tahu Zhiddin berada dalam majlis yang sama.
“Saya memang tak mengenali Zhiddin, hanya tahu kewujudannya selepas beberapa video mengutuk saya.
“Bagaimanapun, Zhiddin pernah menghantar permohonan maaf kepada saya melalui mesej langsung, tapi saya tak perasan.
“Pada pertemuan kami, Zhiddin minta maaf secara berdepan dan bila mendengar tutur bicara dan keikhlasannya, saya memaafkannya,” kata Baby Shima kepada BH Online.
Katanya, dia bukannya jenis suka bermusuh, lantas pintu kemaafan terbuka buat anak kepada personaliti televisyen, Allahyarham Aziz Desa itu.
“Kemaafan itu lebih indah, saya juga tak mahu larut dalam persengketaan,” katanya.
Sementara itu, Zhiddin berkata, dia mula tersedar dan timbul rasa bersalah selepas beberapa video kutukannya terhadap Baby Shima tular.
Dari situ, katanya, dia memulakan langkah menghantar mesej langsung dalam media sosial, tetapi Baby Shima tidak menyedari mesej berkenaan.
Kata Zhiddin, kesedaran itu timbul bukan selepas disindir Baby Shima mengenai pengguguran daripada Anugerah Perdana Belia Negara, tapi selepas beberapa kali membuat video menyelar penyanyi sensasi itu.
“Sebagai manusia, saya tidak lari daripada melakukan kesilapan dan bersikap alpa. Dulu saya mungkin berpegang kepada rasa kurang senang terhadap Baby Shima.
“Namun, bila kian dewasa saya sedar perselisihan tidak menjadikan kita lebih baik, sebaliknya merobohkan jambatan kebaikan.
“Saya memilih berbaik dengan Baby Shima sudah lama, bukan baru-baru ini. Sejak ditegur Baby Shima, saya cuba menghubunginya untuk memohon maaf, tapi tiada respon.
“Saya sedar ada membuat salah kepada Baby Shima, jadi saya nak terus minta maaf. Ini kerana saya percaya hidup ini terlalu singkat untuk terus berbalah,” katanya.
Graduan Fakulti Penulisan Kreatif & Filem, Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu mengakui, dia pernah hanyut dalam arus kecaman begitu deras daripada netizen dan tanpa sedar, dirinya juga menjadi sebahagian daripada ‘gema suara’ mereka.
Namun, katanya, dia mula sedar tidak perlu mengikut rentak netizen tanpa menilai kebenaran selepas muhasabah diri.
Berkongsi pengalaman bertemu dengan Baby Shima, katanya, semuanya terjadi secara tak sengaja dan dalam keadaan baik.
“Pertemuan kali pertama kami cukup mesra seperti sudah bertemu banyak kali. Akhirnya, ia membawa kepada perbualan santai mengenai idea menghasilkan ‘content’ bersama.
“Malam itu benar-benar membuktikan perselisihan tidak bermakna menjadi musuh selama-lamanya,” katanya yang kini hanya ingin menghasilkan kandungan bermanfaat dalam media sosial.