KUALA LUMPUR: Entah apa salah, silapnya kehadiran pelakon jelita, Shiqin Kamal, 33, bagaikan ‘lambat panas’.
Bukan setahun dua, malah kini usia pembabitan pelakon kacukan Melayu, Pakistan, Siam dan Cina itu sudah mencecah 15 tahun, namun namanya seperti ada dalam tiada.
Mula diperkenalkan menerusi filem fenomena, Lagenda Budak Setan pada usia 18 tahun, barangkali belum rezeki Shiqin atau Nur Ashiqin Mohd Kamal terbang tinggi seperti pelakon seangkatannya.
Namun, menyerah kalah bukanlah prinsip bekas graduan Sarjana Muda Sains Aktuari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu.
Sungguhpun begitu, lakonan Shiqin tidak pernah mengecewakan, malah drama Cinta Si Wedding Planner antara naskhah lakonan yang diingati ramai disebabkan watak antagonis hingga berjaya mengundang kebencian ramai.
Bagaimanapun ‘kehangatan’ hanya mampu bertahan seketika. Sebaik drama berakhir, nama Shiqin kembali sunyi dan seakan dilupakan.
“Saya tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan untuk melonjakkan nama.
“Takkan sengaja nak cipta kontroversi untuk dikenali? Saya tidak akan melakukannya. Saya mahu dikenali dengan hasil kerja, bukan jual cerita sensasi,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada Malam Gala Filem Reversi arahan Adrian Teh, baru-baru ini.
Membawa watak Sarah, Shiqin berharap tempias populariti teraju utama, Beto Kusyairy akan terpecik kepadanya.
Bagaimanapun, Shiqin berkata, dia enggan terlalu bergantung kepada pelakon lain.

Mahu mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pelakon hebat yang membintangi filem Reversi, Shiqin sanggup keluar duit sendiri mengupah guru lakonan.
“Bila Adrian memaklumkan barisan pelakon membintangi filem ini, saya rasa amat kerdil. Siapalah saya, mereka pula pelakon hebat-hebat.
“Tapi, kali pertama bertemu, Beto sangat mesra dan memberi peluang kepada saya berdiri sama tinggi dengannya. Tak ada sikapnya nak makan pelakon lain.
“Demi tak mahu ruang sebesar ini dipersia-siakan, saya buat keputusan berguru dengan Cikgu Fatimah Abu Bakar.
“Sekurang-kurangnya bila ada persediaan, tidaklah saya nampak kosong di hadapan pelakon hebat lain,” kata Shiqin.
Watak Sarah, isteri kepada Beto bukan mudah dibawakan kerana banyak transisi karakter perlu dilakonkan Shiqin. Dari seorang yang ceria kepada depresi.
Namun, atas bantuan Cikgu Fatimah yang turut berada di lokasi, Shiqin berkata, dia berjaya melakonkan babak depresi disebabkan kehilangan anak dengan sangat berkesan.
“Apabila diberikan skrip bagus dan bijak seperti ini, takkanlah saya hanya sekadar nak baca skrip.
“Lagipun, bukan selalu saya dapat skrip bijak seperti ini, selalunya saya diberikan watak penyondol.
“Rasanya buat masa ini cukuplah bawa watak penyondol, saya juga serik terpaksa berdepan cercaan penonton di ruangan komen Instagram,” katanya.
Ujar Shiqin lagi, dia pernah rasa terkilan dan marah apabila terdapat segelintir penonton yang kurang cerdik memanggilnya dengan gelaran cukup biadap serta tidak boleh membezakan lakonan dan realiti.
“Ada juga netizen tinggalkan komen bukan-bukan, tapi saya boleh bersabar lagi. Namun, bila ada komen keterlaluan seperti memanggil saya dengan gelaran ‘jalang’, itu membuatkan saya tak mampu bersabar.
“Ada pula sengaja mencari kelemahan saya dengan melakukan serangan peribadi termasuk kutuk gigi saya kuning. Belum lagi, makcik-makcik yang mahu cubit saya depan-depan,” katanya.