ANUGERAH KNKV Viral 2025 bertemakan Memupuk Perpaduan Negara menyasarkan minima 100 juta tontonan melalui pelbagai platform.
Ia termasuk siaran langsung di TV3 serta kerjasama strategik bersama lebih 700 pempengaruh media sosial tempatan serta antarabangsa.
Strategi ini dijangka mencipta impak besar dalam memperkukuh landskap kandungan digital positif di Malaysia mahupun luar negara.
Setiap pempengaruh terbabit dikehendaki memenuhi beberapa kriteria seperti mempunyai sekurang-kurangnya 500,000 pengikut, menghasilkan kandungan membawa mesej positif dan bebas kontroversi selain bukan membabitkan isu politik.
Anugerah ini dianjurkan dengan matlamat menyatukan masyarakat melalui pengiktirafan pempengaruh yang membawa mesej positif.
Di samping mendidik masyarakat bahawa kejayaan dalam platform digital boleh dicapai tanpa perlu mengorbankan nilai moral.
Justeru KNKV Group dan Media Prima Berhad (MPB) baru-baru ini melancarkan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk anugerah berkenaan.
Majlis diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Perpaduan, Senator Saraswathy Kandasami; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali; Pengerusi KNKV Group, Datuk Seri Dr Zurainah Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group, Prof Adjung Adam Richman.
Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan KNKV Group, Sakinah Rahman dan Pengarah Eksekutif Kumpulan KNKV yang juga Pengarah Eksekutif Anugerah KNKV Viral 2025, Wan Utama.
Saraswathy menerusi kenyataan dikeluarkan berkata, pihaknya yakin acara berkenaan bakal memberi impak besar dalam mempengaruhi pengguna media sosial untuk menyemai dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Dengan pengiktirafan kepada pempengaruh yang menyebarkan mesej positif, kita dapat mengetengahkan peranan media sosial sebagai alat untuk menyatukan rakyat dari pelbagai latar belakang.
“Saya juga yakin inisiatif ini akan menggalakkan lebih ramai pengguna media sosial untuk menggunakan platform mereka dengan cara yang membina, sekali gus memperkukuh keharmonian negara.” katanya.
Prof Adjung pula menyeru semua pihak berkerjasama dalam menjayakan anugerah ini.
Katanya, jadikan ini sebagai titik tolak perubahan, menggunakan media sosial bukan sahaja untuk hiburan, tetapi juga untuk menyatukan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang.
Ada tiga kategori utama pempengaruh berdasarkan jumlah pengikut mereka iaitu Macro Influencers (500,000 hingga 1,000,000 pengikut), Mega Influencers (lebih satu juta pengikut) dan Celebrity Influencers (lebih lima juta pengikut).
Lebih 700 pempengaruh dari dalam dan luar negara, termasuk Singapura dan Indonesia akan terbabit dalam inisiatif ini, menunjukkan kepelbagaian dan pengaruh global menerusi anugerah ini.
Ia juga membuka peluang kepada penaja yang ingin menyokong misi mengubah landskap media sosial Malaysia ke arah yang lebih positif.
Sebagai sebahagian daripada usaha ini, kami mengalu-alukan penaja yang berminat untuk bersama-sama mencipta persekitaran digital yang lebih membina dan berinspirasi demi generasi masa hadapan.
Anugerah ini bersiaran secara langsung di TV3 pada 17 Mei depan.