Kuala Lumpur: Pelakon, Siti Elizad, 40, sudah reda sepenuhnya jika tidak dikurniakan rezeki anak sebagaimana diimpikannya sejak 10 tahun lalu.

Elizad berkata, walaupun masih tidak dikurniakan anak, tapi Allah sudah memberikan kehidupan yang baik dalam rumah tangganya bersama suami, Shamsul Baharin Rahman.

“Allah itu maha adil. Dia sudah menyusunkan takdir kita sebaiknya. Walaupun saya masih tidak diberikan rezeki anak, tetapi Allah bagi saya hubungan rumah tangga yang tenang.

“Saya dapat tengok, Allah dah bagi semua. Salah satu di antaranya, sepanjang 10 tahun perjalanan saya dengan suami (dalam rumah tangga), cerita yang betul adalah saya tak pernah dimarahi oleh suami.

“Malah, kami tidak pernah bergaduh besar. Tapi, bila saya berjumpa dengan kawan-kawan ada yang meluahkan mereka bergaduh dengan suami, tak bercakap dengan anak. Saya pula tak ada pengalaman itu,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Elizad ditemui di acara Forum Berbagi Suami sempena drama Berbagi Suami lakonannya sebagai Bella menerusi karya popular yang diadaptasi dari Indonesia.

Menurut Elizad, dia akur dengan segala kurniaan Allah kepadanya walaupun mendapati ada kurang di satu sisi, tetapi masih dilengkapi lagi pada sisi yang lain dan tidak perlu dipersoalkan.

Elizad berkata, sebelum ini dia sudah menyediakan bilik untuk anak-anak dengan kelengkapan katil bertingkat, namun semuanya sudah diberikan kepada kawan-kawan.

“Sebenarnya, saya sudah lama menyiapkan bilik untuk anak-anak di rumah dengan kelengkapan katil bertingkat sebab fikir akan ada anak ramai nanti, sepanjang 10 tahun ini.

“Namun, hingga kini impian saya memiliki anak sendiri belum dimakbulkan oleh Allah dan saya buat keputusan memberikan katil itu kepada kawan-kawan. Saya tidak mahu berterusan rasa sedih,” katanya.

Sebelum ini, Elizad pernah menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF) pertama pada Februari 2020 dan kemudian dia disahkan mengalami keguguran pada November tahun yang sama.

Dua tahun lalu, Elizad sekali lagi memaklumkan dia kembali menjalani rawatan IVF kali kedua

pada Mac 2022 sebagai usaha berterusan untuk mendapatkan cahaya mata. Namun, dia keguguran juga.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *