Kuala Lumpur : Filem seram, Anak Perjanjian Syaitan 2 arahan Dr Ahmad Idham kini berjaya memasuki slot tayangan pawagam di Kemboja selepas Malaysia, Brunei dan Pakistan.

Mula ditayangkan di Kemboja sejak semalam dengan membawa versi terjemahan bahasa Khmer yang menjanjikan pengalaman sinematik seram luar biasa kepada penonton.

Ketua Pegawai Operasi 8TV, Pengedaran Filem & Kandungan, Rangkaian Televisyen Media Prima, Kevin Foo berkata, penayangan Anak Perjanjian Syaitan 2 di Kemboja menandakan satu lagi kejayaan besar bagi industri perfileman negara.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara Grand Brilliance Studios dan Primeworks Studios yang terus berusaha membawa karya tempatan ke pentas global.

“Kami berharap filem ini akan diterima baik oleh penonton di Kemboja dan terus mengangkat nama Malaysia dalam dunia perfileman antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, ia turut dianggap pencapaian sangat baik Anak Perjanjian Syaitan 2 yang mendapat peluang tayangan di luar negara selain Malaysia dengan meraih jumlah kutipan memberangsangkan.

“Kami amat berbangga dengan kejayaan Anak Perjanjian Syaitan 2 yang kini melangkah ke pasaran Kemboja. Ia satu pencapaian besar bagi kami yang mencerminkan dedikasi dan usaha keras semua pihak dalam produksi ini.

“Kami juga menaruh keyakinan filem ini akan memberi pengalaman seram luar biasa kepada penonton di Kemboja dan terus mengukuhkan

kedudukan filem Malaysia di peringkat global,” katanya.

Filem ini dibintangi barisan pelakon terkenal tanah air antaranya Eyka Farhana, Alif Satar, Fasha Sandha, Azlan Komeng, Dian P Ramlee, Azizah Mahzan, Shaharuddin Thamby dan ramai lagi.

Menariknya, jalan cerita filem ini mengisahkan perjuangan seorang wanita muda, Azlinda lakonan Eyka yang berjuang melawan gangguan kuasa ghaib atau mistik menghantuinya sejak kecil.

Sebelum ini, Anak Perjanjian Syaitan 2 sudah membuktikan kejayaan gemilang di peringkat antarabangsa apabila ditayangkan di Pakistan pada 1 November lalu dengan judul Gunah atau bermaksud dosa.

Ia mendapat sambutan hangat dalam kalangan penonton dengan mencatat jumlah tontonan tinggi di 38 pawagam seluruh Pakistan.

Menerusi tayangan di Malaysia dan Brunei pula, filem ini berjaya mengekalkan tempat di carta Top 10 selama tujuh minggu berturut-turut selepas tayangan perdananya dibuat awal tahun ini.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *