KUALA LUMPUR – Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, Abdul Fattah Kamaruddin hari ini memerintahkan pelakon terkenal, Farid Kamil dan isterinya, Diana Danielle untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Perintah itu dibuat selepas Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 43, bertegas enggan melafazkan cerai terhadap Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 33, untuk sebutan kali kedua kes cerai mereka.

Peguam syarie mewakili Diana, Datuk Akhberdin Abdul Kader berkata, arahan itu dibuat mengikut Seksyen 47(5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

MGF16122024_FARID-KAMIL-DAN-DIANA-DANIELLE-3

“Pihak JKP akan melihat dan mendengar kedua-dua belah pihak kemudian bawa cadangan tersebut ke mahkamah tentang apa sebenarnya kedudukan pasangan ini.

“Lantikan wakil JKP bagi pihak Diana) sudah dibuat dan defendan (Farid) juga akan melakukan perkara sama sebelum 21 Januari depan,” katanya pada pemberita.

Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.

Tambah Akhberdin, pihaknya sudah melantik wakil JKP namun tidak mendedahkan inidividu terbabit manakala Farid setakat ini belum melantik wakil JKP.

Sementara itu, peguam syarie mewakili Farid, Fakhrul Azman Abu Hassan memberitahu, anak guamnya menyambut baik keputusan mahkamah dan berusaha untuk berdamai dengan plantif yang juga isterinya.

“Farid hari ini memutuskan tidak melafazkan cerai dan dia ingin berusaha untuk mendamaikan rumah tangganya dengan melantik JKP.

“Kita juga telah menerima salinan sijil perakuan rujuk daripada pihak Diana Danielle seperti mana yang diarahkan mahkamah sebelum ini,”ujarnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mac 2025 untuk sebutan semula kes bersama laporan JKP dari kedua- dua belah pihak.

Selepas selesai prosiding sebutan kes cerai terbabit, Diana Danielle yang ditemui media menyifatkan suaminya itu ibarat tidak berpijak pada bumi yang nyata.

“Tindakan dia (Farid) hari ini amat memualkan dan saya rasa dia tidak berpijak pada bumi yang nyata sebab hanya berangan kerana tiada apa-apa untuk kita nak selamatkan.

“Saya sudah rujuk dengan dia setahun bukankah itu satu peluang untuk kita berdamai dan cuba memperbaiki keadaan, jadi apa yang perlu saya buat?” soalnya.

Mengulas dakwaan Diana Danielle, Farid menegaskan, dia masih mahu mempertahankan rumah tangganya serta rasa sayang dan cinta terhadap isterinya juga tidak luntur.

MGF16122024_FARID-KAMIL-DAN-DIANA-DANIELLE-13

“Kasih sayang ini, bukan boleh dijual. Saya sayangkan isteri dan anak-anak saya dan perjuangan mesti diteruskan, Insya-Allah ada cahaya di hujung terowong,” luahnya. – MalaysiaGazette

Source :

By Admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *