TANPA publisiti meluas, single kedua kumpulan remaja, BluntSheep berjudul Di Hatiku mendapat sambutan hebat peminat.
Buktinya, lagu ciptaan Lydia Ibtisam dan lirik Nazmir Hussin yang baharu dilancarkan dua minggu lalu, sudah berjaya memasuki Carta Era 40 manakala muzik video lagu Di Hatiku yang ditayangkan menerusi YouTube Padu Records pula sudah mendapat lebih 5,000 tontonan sejak dilancarkan pada tempoh sama.
Penyanyinya yang juga pemain gitar, Attana Qawiuddin Rumnan atau Attana, 17, melahirkan perasaan gembira dengan perkembangan positif ini.
“Lagu ini ungkapan perasaan, gambaran berkenaan cinta dan penantian dalam hati untuk kekasih pujaan. Kami bersyukur mendapat melodi yang memikat bersama lirik yang sangat puitis.
“Di Hatiku diterima pendengar kerana mengembalikan lagu pop rock yang sudah lama kosong sejak kehadiran muzik urban di negara kita.
“Komposisi lagu terbitan Hadi Rumnan dan Apak Harry Khalifah yang menggabungkan elemen rock, pop dan moden dengan sentuhan synthesizer yang terasa seperti era 90-an ini sangat menarik,” katanya.
Selain menyampaikan mesej berkenaan mengagungkan seseorang dalam diam dan perjuangan mengejar cinta, Di Hatiku juga menampilkan petikan gitar yang segar, menambah lagi suasana hati yang ingin disampaikan.
“Kami bersyukur dapat memasuki carta Era dengan single terbaru ini. Malah, kami bercita-cita untuk mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.