Kuala Lumpur: Kumpulan Masdo terharu dan bersyukur apabila mereka disenaraikan dalam Top 5 kumpulan terbaik Malaysia oleh Spotify Wrapped.
Pemain bassnya, Putuceri berkata, mereka turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan.
“Alhamdulillah, kami bersyukur dengan pengiktirafan diberikan itu. Pihak kami juga mahu ucapkan terima kasih kepada mereka terutama peminat setia kumpulan Masdo yang banyak menyokong karier muzik kami selama ini,” katanya.
Selain Putuceri, Masdo turut dianggotai Ali Sariah (penyanyi dan gitar) dan Asmawi (gitar).
Berkongsi pencapaian Masdo, Putuceri berkata, banyak yang diraih mereka dalam industri muzik sepanjang tahun ini.
“Antara kejayaan manis ialah kami dicalonkan untuk Best Asia Act di MTV EMA 2024 dan layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-39,” katanya.
Ditanya perancangan karier seni Masdo pada 2025, kata Putuceri, mereka akan meraikan sambutan ulang tahun ke-10 tahun depan.
“Kami giat menghasilkan karya-karya untuk album baharu nanti. Insya-Allah, kami juga merancang untuk mengadakan konsert sempena meraikan ulang tahun ke-10 pada hujung tahun depan,” katanya.
Terdahulu, Masdo melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menduduki kelompok teratas Kumpulan Terbaik Malaysia dan berada dalam kelompok Top 5 Artis Terbaik Malaysia 2024 disenaraikan oleh Spotify Wrapped.
Mereka juga menyertai barisan legenda muzik tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang memegang rekod sebagai artis paling banyak distrim dalam kategori Artis Terbaik Malaysia 2024.